Langkau ke kandungan utama

Perintah Masuk Bumi Palestin

Oleh Syafiq Zulakifli
Perjalanan sirah melalui rancangan Ibrah yang dikongsikan bersama-sama oleh Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman tiba pada saat perjalanan kaum Nabi Musa a.s. diperintahkan untuk masuk ke bumi Palestin.

Dalam penghujung perjalanan kisah Nabi Musa a.s. untuk terus berdakwah kepada kaumnya, karenah yang ditunjukkan oleh Bani Israel makin bertambah. Malah dengan segala bentuk helah dan cubaan untuk mempersendakan Nabi Musa a.s. akhirnya Allah Taala masuk campur pada penghujung perjalanan kisah ini.

Firman Allah Taala dalam Surah Al-Maidah ayat 12 yang bermaksud, “Dan demi sesungguhnya! Allah telah mengambil perjanjian setia Bani Israel (supaya mereka menjunjung perintahNya dan menjauhi laranganNya), dan Kami telah utuskan dari kalangan mereka dua belas ketua (untuk memimpin golongan masing-masing); dan Allah berfirman (kepada mereka): "Bahawa Aku adalah beserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat, dan kamu beriman dengan segala Rasul serta menolong bantu mereka (dalam menegakkan agama Allah), dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalanNya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Oleh itu, sesiapa yang kufur ingkar di antara kamu sesudah yang demikian, maka sesungguhnya sesatlah ia dari jalan yang betul."

Janji Allah Taala di dalam ayat di atas kepada golongan Bani Israel untuk terus beriman kepada Allah adalah satu daripada nikmat yang tidak dihiraukan oleh mereka. Walaubagaimanapun, Nabi Musa a.s. terus melaksanakan perintah dakwahnya dan melakukan pelbagai perancangan untuk memastikan kaumnya setia mengikut ajarannya.

Firman Allah Taala, (Nabi Musa berkata lagi): "Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)". (Surah Al-Maidah ayat 21)

Perintah Nabi Musa a.s kepada pengikutnya untuk masuk ke Tanah Suci Palestin merupakan perintah Allah Taala. Justeru, Nabi Musa a.s tidak melakukan tindakan dengan semberono malah melakukan perancangan rapi bagi memastikan kaumnya tidak merasakan dukacita di atas setiap arahan Ilahi.

Melihat daripada hal demikian, amat bertepatanlah kita mengenang peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w yang dilihat kebetulan perkara yang hampir sama dilakukan oleh baginda Nabi Muhammad untuk menguruskan pengikutnya masuk ke bumi Yathrib (sekarang dikenali dengan bandar Madinah Al-Munawarah) setelah melihat kekusutan dan kelemahan ummah sewaktu berada di Mekah.

Nabi Muhammad s.a.w menyusun strategi dan perancangan yang rapi bagi memastikan perjalanan ke bumi Yathrib melalui penghijrahan yang dilakukan bukanlah sia-sia.

Hal keadaan ini juga berlaku kepada pemimpin 12 kaum Nabi Musa a.s. yang disebut ‘Naqib’. Apabila Allah Taala telah memberikan jaminan kepada mereka yang berbaiah serta membantu Nabi Musa a.s., mereka akan mendapat ganjaran sekiranya mereka tidak berasa takut untuk masuk ke bumi Palestin seperti yang telah diperintahkan.

Dalam ayat yang ke-20, Surah Al-Maidah, Allah Taala menjelaskan, “Dan (ingatkanlah mereka wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (Yang diberikan) kepada kamu ketika Dia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan Dia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-orangnya), dan Dia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu)”.

Memperhalusi kata-kata Allah Taala melalui kalimah ‘Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah” menjadikan pengikut Nabi Musa a.s. merenung dengan lebih mendalam hal tersebut. Mereka melihat bahawa hanya Allah jualah yang berhak memberikan segala pembalasan kepada mereka yang terus setia beriman kepada Allah Taala,

Malah Allah Taala telah menjanjikan jaminan untuk memperoleh keampunan daripada-Nya, kemenangan dan balasan syurga.

Mereka menjawab: "Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)". (Surah Al-Maidah ayat 22)

Buya Hamka di dalam Tafsir Azhar menyatakan bahawa seramai  sepuluh orang daripada 12 orang golongan Hawariyyun itu tidak mahu meneruskan perjalanan untuk masuk ke dalam bumi Palestin seperti yang telah diarahkan Nabi Musa a.s.

Maka, “Berkatalah dua lelaki di antara orang-orang yang takut (menyalahi perintah tuhan), lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: "Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman." (Surah Al-Maidah 23)

Melihat hal keadaan ini, Nabi Musa a.s. merayu kepada Allah Taala supaya tinggalkanlah segala nikmat kepada mereka yang tidak mahu terus mengikut dakwah Nabi Musa a.s.

Seperti yang dimaklumi bahawa, Allah Taala memberikan pelbagai anugerah dan keistimewaan Nabi Musa a.s. sebagai seorang Nabi. Antaranya, Nabi Musa a.s. diberikan kitab Taurat, malah di Semenanjung Sinai  didatangkan peristiwa patung anak lembu (Samiri) malah mereka diberikan Manna dan Salwa, tetapi mereka  tetap dengan karenah.

Malah Nabi Musa a.s. terus menyatakan kepada kaumnya, “Kamu diberikan Nabi-Nabi yang banyak tetapi kamu semua buat tidak tahu dan tidak mengerti akan setiap janji-janji Allah.”
Dalam perjalanan akhir ini, akhirnya Nabi Musa a.s. pun merayu kepada Allah untuk memisahkannya dengan mereka yang mengingkari perintahnya.

Firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 25, Nabi Musa (merayu kepada Allah), katanya: "Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku (Harun); oleh itu pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu".

Justeru permintaan Nabi Musa a.s. itu dijawab oleh Allah Taala melalui perhitungannya menyesatkan mereka selama 40 tahun di dalam kawasan Semenanjung Sinai supaya mereka menyedari setiap tindakan mereka akan diberikan balasan jua oleh Allah.

Allah berfirman: "Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya - selama empat puluh tahun, mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu". (Surah Al-Maidah ayat 26)


>> Penulis adalah penyampai dan Penerbit Rancangan Radio IKIMfm 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kubu Kota Kaherah struktur terhebat tamadun Islam

Susunan ZUNAIDAH ZAINON KUBU Kota (Citadel) adalah monumen terhebat dari zaman pertengahan yang telah mencipta panorama menarik di seluruh bandar Kaherah, Mesir sejak 700 tahun lalu. Selain menjadi tarikan pelancong dari seluruh pelosok dunia, binaan Kubu Kota adalah struktur terhebat dalam sejarah keagungan tamadun Islam. Gabenor Hatim Ibn Hartama dipercayai membina astaka Dome of the Wind pada tahun 810. Kemudiannya, pada 1176, Salah ad-Din (turut dikenali sebagai Saladin) iaitu pemerintah Abbasiah (1171-1193) menukar fungsinya daripada kawasan peranginan kepada kubu pertahanan dan melindungi kawasan tersebut daripada serangan tentera Kristian dalam Perang Salib. Menurut cerita legenda, Salah ad-Din memilih lokasi tersebut untuk mendapatkan udara segar. Ini disebabkan kebanyakan daging yang disalai telah menimbulkan bau yang kurang enak di seluruh bandar kecuali kawasan di sekitar kubu kota. Bagaimanapun, lokasi tersebut amat strategik dan mampu berfungsi sebagai benteng pertahanan.

SAMBUNG BELAJAR KE MESIR

NOTA KEMASUKAN SESI 2020/2021 ============================= UPDATE INFO TERKINI Pengalaman yang selalu membuatkan seseorang cinta untuk menimba pelbagai ilmu. Pengalaman melihat kawan-kawan yang berjaya dilahirkan melalui kampus pengajian di bumi Mesir juga merupakan satu pengalaman yang tidak mampu dijual beli. Tinggalkan pengalaman saya yang telah menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir pada tahun 2004-2009. Itu adalah suatu pengalaman yang amat-amat bernilai dan berharga.  Keputusan STAM/SPM 2019 telah keluar. Alhamdulillah. Ramailah di antara kita sedang membuat pilihan untuk memilih sama ada menyambung pengajian ke dalam negara atau memilih ke luar negara. Alhamdulillah, kurniaan Allah SWT kepada saya, tahun 2016 lalu saya telah berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Mesir melihat sistem pendidikan terbaharu di Mesir. Banyaklah pembaharuan dan kemajuan di Mesir berbanding pengalaman lampau pada tahun 2009 sewaktu berada di bumi Mesir. Kali ini sa

Perintis Diploma Pengurusan Dakwah

 Di antara mahasiswa Diploma Pengurusan Dakwah yang telah menuntut di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI)