Langkau ke kandungan utama

Nabi Musa Masuk Istana Firaun

Nabi Musa Masuk Istana Firaun
Oleh Syafiq Zulakifli,
Penerbit Rancangan Radio IKIMfm



Pada kali ini izinkan saya menyorot perkongsian ilmu Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman di dalam rancangan Ibrah yang bersiaran pada hari Isnin pukul 5.15 petang di radio IKIMfm. Seperti minggu- minggu sebelumnya, Ustaz Syaari mengupas perkongsian melalui kisah perjalanan Nabi Musa a.s. di bumi Mesir menghadapi Firaun.
Pada siri yang ke-10 ini, perjalanan Nabi Musa a.s dan abangnya Nabi Haron a.s. disingkap melalui perincian yang lebih teliti berdasarkan ayat-ayat Allah di dalam al-Quran ketika diperintahkan Allah untuk menghadap Firaun.
Di dalam Surah An-Nazi’at ayat 18 dan 19, Allah berfirman yang maksudnya, “Maka katakanlah (kepada Firaun), “Adakah keinginanmu untuk membersihkan diri (dari kesesatan). Dan engkau akan kupimpin ke jalan Tuhanmu agar engkau takut kepada-Nya?”
Perintah Allah s.w.t. agar Nabi Musa a.s menjalankan tanggungjawab menghadap Firaun menjadi perbahasan utama pada minggu ini. Tujuannya adalah semata-mata untuk memberitahu kepada Firaun bahawa tiada Tuhan yang lebih berkuasa selain Allah. Justeru, perintah Allah agar Nabi Musa memberanikan diri untuk menurut arahan Allah s.w.t sebagaimana ayat al-Quran di dalam Surah Toha (ayat 43-44) yang bermaksud, “Pergilah kamu berdua kepada Firaun kerana dia benar-benar melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia sedar atau takut.”
Allah mengajar Nabi Musa a.s. untuk berhadapan dengan Firaun di dalam keadaan lemah-lembut. Ini juga menjadi tanggungjawab kepada pendakwah untuk berhadapan dengan mad’u (sasaran dakwah) agar tidak kasar di dalam seruan agama Islam itu sendiri. 
Kisah Nabi Musa a.s. dan Nabi Haron a.s. masuk menghadap Firaun dirakamkan oleh Allah di dalam al-Quran. Ketika Nabi Musa a.s dan abangnya (Nabi Haron a.s.) melangkah masuk ke dalam istana Firaun, pengawal istana telah memberitahu kepada Firaun tentang kehadiran mereka berdua.
Firaun mengizinkan kehadiran mereka dengan katanya, “Izinkan mereka masuk agar kita boleh mentertawakan mereka.” Dengan lagak sombong dan bongkak Firaun tersebut, Nabi Musa a.s. menggunakan kebijaksanaanya untuk menyusun kata  agar dapat menjinakkan hati Firaun.
Al-Quran telah menggambarkan dialog di antara Nabi Musa dan Firaun sebagaimana yang tercatat di dalam Surah Toha ayat 47 yang bermaksud, “Maka pergilah kamu berdua kepadanya (Firaun) dan katakanlah, “Sungguh, kami berdua adalah utusan Tuhanmu, maka lepaskanlah Bani Israel bersama kami dan janganlah engkau menyeksa mereka. Sungguh, kami datang kepadamu dengan membawa bukti (atas kerasulan kami) dari Tuhanmu.”
Lalu, Firaun berkata, “Wahai Musa, siapa Tuhan kamu berdua?” Dalam hal ini, Firaun tidak bertanya kepada Nabi Haron, tetapi bertanya kepada Nabi Musa kerana menganggap bahawa Nabi Musa adalah seorang yang gagap dan tidak mampu berhujah dengan baik di hadapannya. Walaubagaimanapun, Nabi Musa telah berjaya menjawab  persoalan Firaun dengan tenang, “Tuhan Kami wahai Firaun adalah Tuhan yang telah mencipta sesuatu itu dengan segala bentuknya. Apa yang ada di bawah kamu semua itu ada bentuknya.”
Di dalam Tafsir Dr Hamka, beliau memperincikan berkenaan hal keadaan ini bagi menunjukkan kekuasaan Allah menjadikan setiap sesuatu kejadian itu tidak sama di antara satu sama yang lain. Ini dibuktikan dengan kejadian manusia, bahawa setiap sesuatu kejadian tersebut, seperti muka, cap jari, bunyi suara hatta kembar siam pun tidak sama.
Justeru, apabila jawapan ini muncul kepada Firaun, dia telah cuba untuk menukar cara pertanyaan tersebut dengan katanya, “Wahai Musa, jadi bagaimana dengan generasi-generasi lalu yang menyembah selain daripada Allah. Mereka tidak ditimpa kesusahan pun…” Pada keadaan ini, Firaun telah memutarbelitkan soalan dengan mengungkap sejarah lampau dan ilmu logik.
Apabila jawapan sinis ini dikeluarkan, maka Nabi Musa pun menjawab : “Yang telah berlalu itu tetap telah berlalu dan segalanya di dalam pengetahuan Tuhanku. Tuhanku tidak akan salah dan lupa.”
Begitulah perincian Allah di dalam al-Quran menerusi dialog di antara Nabi Musa a.s. terhadap Firaun. Hal ini disandarkan pada ayat ke 53 hingga 56 Surah Toha menyebabkan Firaun mati hujah kerana hanya menggunakan logik akal di dalam perdebatannya.
Dalam perkongsian minggu ini, dapat difahami bahawa hikmah di sebalik berhadapan dengan musuh tentunya memerlukan kekuatan ilmu di dalam berhujah. Kekuatan ilmu mantik -  juga seruan berdakwah dengan cara yang lemah-lembut dibuktikan oleh Nabi Musa a.s. yang terpaksa berhadapan dengan Firaun. Dakwah Nabi Musa untuk berhadapan dengan Firaun di dalam istana tentunya menjadi asas di dalam pembinaan karektor manusiawi yang ingin berdialog dengan musuh. Kupasan peristiwa ini akan bersambung pada minggu hadapan.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SAMBUNG BELAJAR KE MESIR

NOTA KEMASUKAN SESI 2020/2021 ============================= UPDATE INFO TERKINI Pengalaman yang selalu membuatkan seseorang cinta untuk menimba pelbagai ilmu. Pengalaman melihat kawan-kawan yang berjaya dilahirkan melalui kampus pengajian di bumi Mesir juga merupakan satu pengalaman yang tidak mampu dijual beli. Tinggalkan pengalaman saya yang telah menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir pada tahun 2004-2009. Itu adalah suatu pengalaman yang amat-amat bernilai dan berharga.  Keputusan STAM/SPM 2019 telah keluar. Alhamdulillah. Ramailah di antara kita sedang membuat pilihan untuk memilih sama ada menyambung pengajian ke dalam negara atau memilih ke luar negara. Alhamdulillah, kurniaan Allah SWT kepada saya, tahun 2016 lalu saya telah berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Mesir melihat sistem pendidikan terbaharu di Mesir. Banyaklah pembaharuan dan kemajuan di Mesir berbanding pengalaman lampau pada tahun 2009 sewaktu berada di bumi Mesir. Kali ini sa

Kubu Kota Kaherah struktur terhebat tamadun Islam

Susunan ZUNAIDAH ZAINON KUBU Kota (Citadel) adalah monumen terhebat dari zaman pertengahan yang telah mencipta panorama menarik di seluruh bandar Kaherah, Mesir sejak 700 tahun lalu. Selain menjadi tarikan pelancong dari seluruh pelosok dunia, binaan Kubu Kota adalah struktur terhebat dalam sejarah keagungan tamadun Islam. Gabenor Hatim Ibn Hartama dipercayai membina astaka Dome of the Wind pada tahun 810. Kemudiannya, pada 1176, Salah ad-Din (turut dikenali sebagai Saladin) iaitu pemerintah Abbasiah (1171-1193) menukar fungsinya daripada kawasan peranginan kepada kubu pertahanan dan melindungi kawasan tersebut daripada serangan tentera Kristian dalam Perang Salib. Menurut cerita legenda, Salah ad-Din memilih lokasi tersebut untuk mendapatkan udara segar. Ini disebabkan kebanyakan daging yang disalai telah menimbulkan bau yang kurang enak di seluruh bandar kecuali kawasan di sekitar kubu kota. Bagaimanapun, lokasi tersebut amat strategik dan mampu berfungsi sebagai benteng pertahanan.

Perintis Diploma Pengurusan Dakwah

 Di antara mahasiswa Diploma Pengurusan Dakwah yang telah menuntut di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI)