Langkau ke kandungan utama

Cabaran Teater



Teater tempatan perlu anjakan
Oleh AZMAN ISMAIL

DUNIA melangkah ke tahun 2008. Ia tidak hanya mencatatkan pertambahan tahun tetapi juga sebuah anjakan Malaysia kepada keragaman serta kerencaman dalam semua bidang termasuk bidang seni, sastera dan budaya.
Secara logiknya, pertambahan satu tahun tersebut menandakan masyarakat seni, sastera dan budaya semakin matang dan kuat. Bukan sahaja dari aspek persembahan dan kualiti karya tetapi strategi pemasaran.

Namun, adakah para penggiat dan pengkritik seni telah bersedia untuk mendepani cabaran 2008 yang pastinya lebih hangat dan mencabar?

“Memperkasakan bidang seni termasuk teater dan sastera bukanlah kerja mudah. Ia sama seperti bidang-bidang lain yang menuntut seluruh penggiat serta pengkritik seni berusaha secara maksimum.

“Kita bukan lagi berada dalam zon untuk meniru dan mengagumi Barat tetapi melahirkan karya atau naskhah teater dalam kerangka pemikiran kita sendiri,” kata pelakon dan aktivis teater, Rosli Rahman Adam dalam wawancara dengan wartawan Mega, AZMAN ISMAIL dan jurugambar, JEFRI RAHMAN.

MEGA: Apa cabaran dan mungkin juga masalah terbesar bidang teater di Malaysia hari ini?

ROSLI: Sebenarnya ini adalah masalah lama dan belum menemui nokhtahnya. Dunia teater kita tidak banyak skrip yang benar-benar bermutu. Memang banyak naskhah ditulis saban tahun tapi tidak banyak yang boleh kita harapkan.

Kita terlalu mengharapkan naskhah-naskhah yang sedia ada seperti karya-karya Sasterawan Negara Datuk Nordin (Hassan), A. Samad Said, Zakaria Ariffin dan beberapa lagi.

Di sinilah saya katakan cabaran dan juga masalah dalam dunia kreatif (teater) kita hari ini. Jika tidak ada usaha yang menyeluruh, jangan harapkan kita dapat setanding dengan negara-negara Barat atau mungkin sesetengah jiran kita.

Tidak banyak yang boleh kita harapkan kepada pengarang-pengarang lama kerana faktor usia dan mungkin kesihatan mereka. Dunia teater tempatan perlu ditangani oleh penggiat muda untuk melahirkan naskhah yang bermutu dan kuat.

Mungkin ada masalah lain yang juga menjadi penghambat kepada perkembangan teater tanah air?

ROSLI: Ada banyak hambatan lain jika mahu disenaraikan. Cuma jika disimpulkan ia membabitkan sikap dan cara kita mengembangkan teater di negara ini.

Pertama; sebahagian masyarakat kita masih tidak gemar menonton atau menekuni karya-karya Melayu kerana ia masih dianggap sebagai kelas kedua.

Mereka merasa hebat menonton pementasan berbahasa Inggeris walaupun ceritanya tidak bagus. Ini persoalan paradigma yang perlu diubah jika mahu teater Malaysia terus berjaya.

Kedua; kelemahan yang tidak pernah kita sedari dalam perkembangan teater kanak-kanak. Dalam genre ini, kanak-kanak diajar dan diberi watak-watak binatang, buah-buahan dan sebagainya - sesuatu yang tidak tepat.

Kenapa tidak cuba kita memberi peranan yang lebih dewasa. Ini pastinya berkaitan dengan naskhah teater kanak-kanak kita yang memerlukan mereka ‘lebih matang’ dengan watak yang realistik.

Apa maksud sebenar saudara?

ROSLI: Saya melihat perlu adanya anjakan di kalangan penulis naskhah teater kanak-kanak. Tidak salah mereka dihidangkan dengan cerita yang lebih ‘dewasa’. Maksudnya, kita selalu beranggapan bahawa teater kanak-kanak sinonim pemahaman mereka yang abstrak.

Akibatnya naskhah teater kanak-kanak diberi warna yang tidak logik seperti binatang, pokok, buah-buahan dan sayur-sayuran yang boleh bercakap. Tidak salah jika kita mendedahkan mereka dengan cara ini.

Tapi, akan menjadi lebih baik apabila kita memberi mereka watak-watak yang realistik yang digali daripada khazanah-khazanah kesusasteraan atau epik Melayu, sejarah peradaban bangsa dan mungkin juga nilai-nilai daripada kisah keagungan Islam.

Kenapa kisah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka atau kehebatan pahlawan-pahlawan kita menentang penjajah Inggeris tidak diketengahkan dalam versi kanak-kanak? Setidak-tidaknya ini akan mengajar mereka tentang sejarah nenek moyang mereka.

Apa yang mesti dilakukan oleh aktivis teater tempatan dalam hal ini?

ROSLI: Buat penyelidikan dan kajian mendalam terhadap warisan sejarah dan khazanah bangsa Melayu. Jangan kita hanya tahu membawa anak-anak kita melawat muzium tetapi tidak tahu kandungan dan erti bahan yang dipamerkan.

Hasil kajian itu kita lahirkan naskhah-naskhah teater. Secara langsung kita sebenarnya mendidik anak-anak kita mengenali sejarah nenek moyang tetapi dari perspektif berbeza iaitu lakonan.

Mungkin juga kita boleh menggali kehebatan ulama-ulama besar kita yang berperanan menyebarkan agama Islam. Sebut sahaja Tok Kenali misalnya. Banyak sudut yang boleh dikupas dan diterjemahkan ke dalam naskhah.

Ada contoh lain seperti jasa pejuang bahasa serta budaya Melayu, Allahyarham Zaaba atau Allahyarham Tun Syed Nasir. Mereka dikupas dan didedahkan kepada kanak-kanak melalui teater.

Mungkin naskhah tentang pejuang-pejuang kemerdekaan versi kanak-kanak?

ROSLI: Ya, kita ada naskhah teater tentang Datuk Onn misalnya. Tapi pernahkah ia dipentaskan dalam versi kanak-kanak sedangkan ia penting untuk memberi pendedahan tentang siapa Allahyarham kepada mereka.

Dunia semakin mencabar. Adakah kita perlu terus mendidik kanak-kanak menerusi watak-watak durian, pisang, kobis, kambing, gajah atau harimau? Kenapa paradigma itu tidak diubah supaya banyak unsur baru dapat didedahkan kepada mereka.

Kita mesti ingat, pementasan teater bukan sekadar untuk hiburan. Ia juga merupakan suatu proses berfikir. Apa salahnya kanak-kanak memegang watak Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman, Tun Dr. Ismail dan sesiapa sahaja yang dilakonkan oleh orang dewasa.

Bagaimana dengan konsep integrasi kaum menerusi teater khususnya teater kanak-kanak?

ROSLI: Ini juga perlu dilihat dengan cermat. Ia tidak hanya melibatkan naskhah teater kanak-kanak tetapi juga dewasa.

Dalam isu ini, kita boleh melihatnya kepentingannya dari dua aspek iaitu memperluaskan jangkauan elemen-elemen kesenian Melayu kepada etnik lain dan di sisi lain mengukuhkan integrasi kaum melalui seni.

Penggiat seni tidak boleh hanya memberi penekanan kepada kesenian Melayu untuk orang Melayu sahaja. Itu tidak betul dan berbahaya dalam jangka masa panjang.

Tidak salah jika kita memperkenalkan Makyong, bangsawan, Rodat dan apa sahaja kesenian milik orang Melayu kepada bukan Melayu. Perlu kita ketahui seni adalah keindahan yang boleh dikongsikan dengan sesiapa sahaja.

Bagaimana pendekatan berkesan yang boleh diambil untuk meningkatkan keberkesanan pemasaran teater Malaysia?

ROSLI: Sebelum saya menjawab soalan ini, cuba tanya pada diri sendiri (para penggiat) untuk siapa dan kenapa kita berkarya. Adakah hanya sekadar minat kita yang mendalam terhadap teater?

Jika kita berkarya untuk mendidik dan membina masyarakat, kita pasti tahu apa naskhah yang sesuai, konsep dan pendekatan yang perlu diambil untuk melahirkan karya. Seboleh-bolehnya apa yang kita hasilkan mesti merentasi sempadan etnik, bahasa dan kepercayaan.

Karya berbahasa Melayu yang merentas sempadan etnik ini sebenarnya merupakan strategi yang cukup berkesan. Contoh mudah misalnya, kenapa karya-karya Usman Awang (Sasterawan Negara) diterima oleh pelbagai etnik?

Ini kerana karya Allahyarham mengangkat satu kelainan yang membawa mesej merentasi sempadan etnik, bahasa dan kepercayaan misalnya kemanusiaan dan kemasyarakatan.

Allahyarham jelas berkarya bukan untuk orang Melayu sahaja tetapi meletakkan karya-karyanya dalam ruang kesejagatan tanpa mengira siapa dan keturunan mereka.

Bagaimana saudara melihat potensi teater Malaysia pada masa akan datang?

ROSLI: Ia akan berubah dan mungkin juga tidak. Semuanya bergantung kepada penggiat dan pihak yang menyokong perkembangannya. Kalau ada keinginan untuk melihat perubahan melalui usaha pasti akan ada anjakan.

Jika kita masih tidak mengubah paradigma dan berpuas hati dengan apa yang ada hari ini, jangan harap teater Malaysia melangkah jauh. Dan, tidak mustahil ia lebih buruk.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SAMBUNG BELAJAR KE MESIR

NOTA KEMASUKAN SESI 2020/2021 ============================= UPDATE INFO TERKINI Pengalaman yang selalu membuatkan seseorang cinta untuk menimba pelbagai ilmu. Pengalaman melihat kawan-kawan yang berjaya dilahirkan melalui kampus pengajian di bumi Mesir juga merupakan satu pengalaman yang tidak mampu dijual beli. Tinggalkan pengalaman saya yang telah menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir pada tahun 2004-2009. Itu adalah suatu pengalaman yang amat-amat bernilai dan berharga.  Keputusan STAM/SPM 2019 telah keluar. Alhamdulillah. Ramailah di antara kita sedang membuat pilihan untuk memilih sama ada menyambung pengajian ke dalam negara atau memilih ke luar negara. Alhamdulillah, kurniaan Allah SWT kepada saya, tahun 2016 lalu saya telah berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Mesir melihat sistem pendidikan terbaharu di Mesir. Banyaklah pembaharuan dan kemajuan di Mesir berbanding pengalaman lampau pada tahun 2009 sewaktu berada di bumi Mesir. Kali ini sa

Kubu Kota Kaherah struktur terhebat tamadun Islam

Susunan ZUNAIDAH ZAINON KUBU Kota (Citadel) adalah monumen terhebat dari zaman pertengahan yang telah mencipta panorama menarik di seluruh bandar Kaherah, Mesir sejak 700 tahun lalu. Selain menjadi tarikan pelancong dari seluruh pelosok dunia, binaan Kubu Kota adalah struktur terhebat dalam sejarah keagungan tamadun Islam. Gabenor Hatim Ibn Hartama dipercayai membina astaka Dome of the Wind pada tahun 810. Kemudiannya, pada 1176, Salah ad-Din (turut dikenali sebagai Saladin) iaitu pemerintah Abbasiah (1171-1193) menukar fungsinya daripada kawasan peranginan kepada kubu pertahanan dan melindungi kawasan tersebut daripada serangan tentera Kristian dalam Perang Salib. Menurut cerita legenda, Salah ad-Din memilih lokasi tersebut untuk mendapatkan udara segar. Ini disebabkan kebanyakan daging yang disalai telah menimbulkan bau yang kurang enak di seluruh bandar kecuali kawasan di sekitar kubu kota. Bagaimanapun, lokasi tersebut amat strategik dan mampu berfungsi sebagai benteng pertahanan.

Perintis Diploma Pengurusan Dakwah

 Di antara mahasiswa Diploma Pengurusan Dakwah yang telah menuntut di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI)