Sekiranya perjalanan ini dibukukan, mungkin inilah mukadimahnya....
KEMBARA MENCARI HAJI MABRUR
Syafiq Zulakifli
Jika ada orang bertanya kepada saya, apakah wujud keseronokkan sewaktu menjejakkan kaki ke Tanah Suci; jawapan saya adalah – “Saudara perlu pergi dan berada sendiri di tempat Rasulullah – penghulu sekalian Nabi dan berusahalah untuk menjadi tetamu Allah.”
Betapa benar bahawa saya tidak dapat menceritakan secara panjang lebar apa yang saya rasai kerana bagi mereka yang sudah tiba di Kota Suci ini – tentu tidak sama dengan apa yang digambarkan berdasarkan pemahaman dan pembacaan saudara di dalam kitab dan buku.
Saya juga mengalami hal ehwal yang sama. Sesekali ilmu Haji yang dipelajari di dalam kitab feqah tidak sama dengan pengalaman praktikal yang dihadapi. Teori hanya sebagai sebuah teori.
Datangkanlah saya buku “Travelog Haji : Mengubah Sempadan Iman” karangan Prof Kamil Ibrahim sekalipun, ia langsung tidak sama dengan apa yang dilalui sepanjang lebih lima puluh lima hari berada di sana.
Lalu – saya berkira-kira untuk berkongsi hal ehwal pengalaman kerana bagi saya setiap orang pasti melalui pengalaman berbeza. Saya mulakan cerita sebegini.
Mekah barangkali tidak sama dengan Madinah. Dua kota yang berbeza. Barangkali siapa yang menjejakkan kaki ke Madinah terlebih dahulu – mereka akan kecewa tatkala tiba di Mekah kerana apa yang diimpikan tidak dapat dicapai.
Apabila bicara tentang haji – pasti kita mengetahui bahawa Tabung Haji adalah pihak pengurusan yang bertanggungjawab mengatur semua jemaah Malaysia di sana. Dari sisi yang berbeza ; saya melihat betapa wajarlah pengurusan TH diiktiraf oleh pihak Arab Saudi kerana pembangunan dan pencapaian yang telah dilakukan semenjak menguruskan jemaah dari awal (apabila tiba) sehingga berakhir musim haji.
Namun, terdetik hati saya menyatakan – jika saudara mempunyai kewangan yang lebih eloklah mengesyorkan ayah dan bonda untuk memilih mengikuti perjalanan melalui PAKEJ yang disediakan oleh TH. Biarpun mahal tetapi nikmat ibadah dapat dirasai.
Sebagai wartawan yang diberi tanggungjawab untuk membuat laporan – pasti banyak perkara yang telah dipelajari dan dapat dikumpul bersama-sama. Saya mulakan perjalanan di Kota Madinah terlebih dahulu.
Pengalaman di Bukit Uhud. Saya bukan pengkaji sejarah yang tegar. Namun, setelah beberapa kali tiba di kawasan ini – saya jadi syahdu. Oh, betapa syuhada Uhud banyak dimakamkan di sini. Antaranya Saidina Hamzah, Masab bin Umair, Abdullah Al-Jahshi, dan Hanzalah bin Amir.
Masjid Quba ada cerita tersendiri. Begitu juga dengan masjid Qiblatain.
Apakala berada di Masjid Nabawi – hanya Allah sahaja yang tahu betapa kami mudah menghadapi Raudhah. Masuk ke Raudhah di dalam keadaan selesa.
Sebelah masjid Nabawi, terletaknya Baqi’ (tempat perkuburan)
Dalam sebuah hadis, Rasulullah menyatakan;
“Siapa yang mampu menutup usia di Madinah, maka hendaklah di meninggal di sana, karena aku memberi syafa`at pada orang yang meninggal di sana” HR. Tirmizi no.3917 & Ahmad jilid I hal.74
Mereka yang berada di situ adalah Aisyah, Saudah, Siti Zainab . Manakala anak Rasulullah yang dimakamkan disitu adalah Siti Ummu Kaltsum, Siti Ruqayyah serta Fatimah.
Air zam zam adalah minuman harian.
Di Mekah atau Madinah, minuman ini sentiasa tidak lari daripada perjalanan saya dan teman-teman.
Singgah ke Mekah ada pelbagai cerita lagi. Lebih sebulan berada di Mekah, setiap hari saya melihat pelbagai ragam dan keadaan terutama para jemaah Malaysia yang setiap hari berkunjung ke kota suci tersebut.
Di Mekah, saya sempat singgah ke tempat pelaksanaan Haji (Arafah – Mina – Muzdalifah dan jamarat) Juga, sempat juga memanjat Jabal Nur yang adanya Gua Hira’ di puncaknya. Hebatnya tempat di mana ayat pertama di dalam Al-Quran ini turun.
Cuaca –hanya Allah sahaja yang tahu. Panas yang lebih membahang daripada negara sendiri.
Meniti hari demi hari – saat kemuncak tiba. Pelaksanaan haji akan bermula. Ia bermula pada 8 Zulhijjah sehari sebelum berada di Padang Arafah. Betapa langit Arafah tidak sama dengan langit Malaysia.
Ada hari yang kami sasar.
Ada hari yang kami lewah dan hilang begitu sahaja kerana kepenatan.
Ada juga peristiwa yang tidak dapat diceritakan di sini.
Sekian, wassalam.
Ulasan