Kenali Diri

My photo
Johor Bahru, Johor, Malaysia
SYAFIQ ZULAKIFLI adalah graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah,Mesir. Berasal dari negeri Johor Darul Takzim. B.A (Hons)Syariah, Al-Azhar (2009) Editor PTS Publication & Distributor Sdn Bhd(2010) Eksekutif Penyelidikan Editorial TVAlhijrah(2012)Penerbit Rancangan IKIMfm (Mulai 1 Mac 2012) Sebarang pertanyaan emelkan ke syafiqzulakifli @ gmail.com atau hubungi +6017 7346 946

Sunday, June 28, 2009

Matrikulasi Al-Azhar : Mahasiswa Mampu Tersenyum

Kenyataan Akhbar (Muka hadapan)

PENGAJIAN Matrikulasi Al-Azhar yang bermula pada sesi pengajian yang lalu (2008/09) kini tiba ke noktah terakhir.

Barangkali kita mendengar khabar yang selesa selepas kenyataan akhbar "Suara Al-Azhar" muka depan kelmarin menyatakan bahawa pihak universiti akan memajukan dan meningkatkan peranan golongan Al-Azhar sebagai sebuah tenaga kerja untuk seluruh dunia.

Satu fakulti baharu diwujudkan. Fakulti Ulum Islamiah Azhariah untuk mahasiswa luar negara yang tidak menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar.

Oleh yang demikian, mahasiswa matrikulasi Al-Azhar mampu tersenyum seketika terhadap proses pengajian ini. Tetapi, sebagai perintis kepada program ini, mahasiswa dan mahasiswi akan menghadapi satu 'kesukaran' kerana rujukan atau silibus pembelajaran masih pada tahap baharu.

Mereka mungkin tercari-cari bagaimana kaedah pembelajaran bagi menghadapi suasana dalam fakulti ini.

Kita belum dikhabarkan secara terperinci terhadap program ini kerana dasarnya masih di peringkat samar-samar. Kita akan mengkaji sejauhmana program ini mampu memberi pencerahan kepada sektor negara pada masa akan datang.

Tambahan :

1. Mahasiswa yang sudah berdaftar untuk pengajian Ijazah Pertama (Ijazah Sarjana Muda) lepasan STAM agar tidak gatal-gatal memasuki program matrikulasi ini kerana pada saya ia hanya mendatangkan kerugian sahaja.

2. Metod pembelajaran di fakulti ini semestinya berbeza daripada fakulti lain yang berada di Mesir. Oleh yang demikian, sistem pembelajarannya juga perlu diperkembangkan dengan cara yang berbeza.

3. Mahasiswa dan mahasiswi yang tidak mendapat tajaan yuran pengajian USD 1,000 setahun bagi fakulti ini digalakkan tidak menyertainya kerana dikhuatiri akan mendapat janji manis yang tidak ada noktah.

4. Fakulti ini berbeza dengan fakulti yang lain kerana yuran pengajian. Yuran pengajian bagi fakulti Al-Azhar (Syariah, Usuluddin dan lain-lain) hanya RM 50.00 per tahun. Tetapi bagi mereka USD 1,000 per tahun.



BERITA : Anak Johor Usah Gentar

Gambar hiasan.
Penulis (tengah) bersama mahasiswa Universiti Malaya yang bakal pulang ke Malaysia selepas tamat kursus bahasa Arab di Mesir
. Kerana H1N1 kami berjaga-jaga :)

MEMBACA akhbar adalah menjadi makanan asasi saya. Oleh sebab itu, banyak perkara yang diberitakan oleh akhbar cepat-cepat saya muatkan. Isu pengangguran mahasiswa atau orang awam sepatutnya tidak berlaku. Pelbagai kerjaya yang ditawarkan oleh negara pada hari ini.

Adakah mahasiswa kita terlalu memilih? Atau mereka masih belum bersedia terjun ke dalam sektor kerjaya malah menjadikan alasan tidak bekerjaya hanya kerana 'masih belum ada rezeki'?

Menerusi ekspo kerjaya yang diadakan hampir setiap bulan di Malaysia, peluang tersebut tidak akan mati ditelan keadaan ekonomi negara yang sarat dengan kegawatan.

Adakah 'Karnival Kerjaya Timur Tengah' akan diadakan lagi?


Sumber : Utusan Online, Ahad 28 Jun 2009
Ekspo kerjaya tawar 7,000 peluang kerja untuk warga Johor

LEDANG 27 Jun - Sebanyak 7,000 peluang pekerjaan terbuka luas kepada warga Johor yang menganggur menerusi penganjuran ekspo kerjaya di Danga City Mall, Johor Bahru hujung minggu ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, sebanyak 6,000 peluang pekerjaan adalah dalam sektor swasta manakala bakinya di sektor awam.

Beliau berkata, ia sekali gus membuktikan bahawa walaupun negara dilanda krisis ekonomi global, peluang pekerjaan baru masih dapat diwujudkan.

"Sehubungan itu, kerajaan amat mengalu-alukan mereka yang masih menganggur di negeri ini untuk mengunjungi ekspo tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Kedai Kita milik Koperasi Peruncitan dan Pembekalan Ledang Berhad di Bukit Gambir di sini semalam.

Abdul Ghani turut menegaskan peluang pekerjaan di sektor awam adalah terbuka kepada mana-mana kaum dan bukan tertakluk kepada kaum bumiputera sahaja.

"Kami membuka permohonan kepada semua dan kami berharap mereka akan memanfaat sepenuhnya peluang yang terbuka luas ini," katanya.

Mengenai masalah penyesuaian kerja di kalangan lepasan universiti, Abdul Ghani berkata, ia dapat diatasi sekiranya mereka tidak memilih kerja.

"Mereka sepatutnya menghargai pilihan untuk dapat bekerja dan bukannya memilih untuk menganggur tanpa berbuat apa-apa.

"Daripada pekerjaan pertama itu sebenarnya mereka akan mendapat pengalaman dan kemahiran yang berharga untuk kerjaya mereka seterusnya," katanya.


Saturday, June 27, 2009

PMRAM Ke Turki dan Fatwa Mufti Mesir

Kota Istanbul

Mulai hari ini, 27 Jun 2009 hingga 5 Julai 2009 PMRAM menghantar dan mengadakan lawatan sambil belajar ke Turki.

Rezeki untuk bersama-sama teman ke Turki pada tahun ini tidak ada. Moga-moga ada peluang pada sesi mendatang.

Teringin benar melihat Selat Bosphorus dan Kota Istanbul yang tersergam indah. Apapun, moga dipertemukan selepas ini.

Tahniah buat PMRAM.

Akhbar Suara Azhar (setiap hari Jumaat)
2
Fatwa Mufti Kerajaan Mesir

Fatwa ini saya sudah baca pada minggu lalu di Majalah Akhbar, Mesir. Tetapi lebih menjelaskan adalah dalam akhbar Soutul-Azhar 26 Jun 2009.

"Harus Melewatkan Ibadah Umrah Kerana Wabak H1N1"

Atas sebab Influenza H1N1 yang melanda kebanyakan negara, Mufti Kerajaan Mesir, Dr Ali Jum'ah telah memfatwakan agar digalakkan untuk melewatkan ibadah umrah pada musim ini.

Oleh kerana ibadah umrah juga boleh menyebabkan masalah-masalah luar jangka timbul, fatwa ini meraikan beberapa pihak yang ingin ke sana.

Walaubagaimanapun, ibadah umrah tidak mendatangkan hukum haram untuk mengerjakannya.



Wednesday, June 24, 2009

Bahang Selepas Peperiksaan dan Universiti


MUSIM panas selepas peperiksaan ini memang mencabar. Apatah lagi 'cemburu' melihat beberapa bagasi diheret ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Penghijrahan itu barangkali melepaskan lelah daripada debu kemuncak Kota Kaherah yang bahang. Ketika artikel ini ditulis, suhu Kota Kaherah barangkali melebihi 40 darjah celcius.

Tugas harus dilaksanakan. Amanah yang diberi harus digalas dengan seadilnya. Barangkali juga tempo penulisan saya akan bertukar daripada pantas meng-update kepada kurang sedikit kerana bebanan tugas luar. Kadang-kadang saya tidak sahaja duduk di rumah berbanding zaman peperiksaan dulu. Pagi bersidang di kawasan A, petang bersidang di kawasan B, malam bersidang di kawasan C. Resam sebagai seorang pemegang amanah.

Walaupun bukan sebagai anggota kepimpinan tetapi 'menasihati' persatuan adalah perkara yang benar-benar mencabar. Tentunya kehidupan akan berubah daripada sehari ke sehari.

(2)
Hari Ahad ini adalah kemasukan ke IPTA bagi mahasiswa kita di Malaysia. Tahniah kepada teman-teman (junior) saya yang berjaya masuk ke IPTA.

Ucapan tahniah ini khusus buat Akhi Muhammad Nu'aim Md Isa (Nuisza) yang bakal terbang ke Universiti Malaysia Sabah dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Geologi dan Akhi Muhammad Shimir Afiq bin Seraj yang bakal menuntut di Universiti Malaya dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik. Tahniah tahniah dan tahniah.

Ada ramai kenalan yang berjaya masuk ke IPTA sesi 2009/10 ini. Tahniah diucapkan juga. Ramai teman ke IPTA, tak mahu masuk Universiti Al-Azhar kah?

Gambar : Nuisza di Pantai Pulau Redang

Tuesday, June 23, 2009

AGAMA : Teman Simbol Kekuatan Diri


Exco Dakwah BKPJM 'memaksa' saya menulis sebuah artikel untuk dibawa ke lawatan rasmi kepimpinan BKPJM seluruh cawangan di Mesir bermula hari esok. Justeru, dalam keadaan yang senggang ini sempat juga menulis untuk BKPJM.

Kepada yang kena tempias dan tempeleng sikit-sikit itu, biasalah...jangan kecil hati.

TEMAN SIMBOL KEKUATAN DIRI
Oleh : Syafiq Zulakifli


ISLAM menitikberatkan hubungan sesama manusia. Sebagai sebuah agama yang mementingkan hubungan sesama manusia ini, kita semestinya bersyukur kerana masih mempunyai teman dan rakan sebagai pemudahcara ketika berada di bumi Mesir ini.

Sebenarnya, teman dan rakan juga termasuk daripada salah satu amanah Allah yang harus ditunaikan haknya. Ada ketika mereka senang dan kita mengharapkan pertolongan mereka. Dan ada ketika mereka berada di dalam keadaan susah dan memerlukan sokongan dan dorongan daripada kita. Justeru, sebagai teman adalah menjadi tanggungjawab untuk melaksanakan tuntutan tersebut.

Menghormati teman dan menyempurnakan haknya menjadikan jiwa kita sebagai seorang Muslim yang memiliki iman sempurna. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana ia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Muslim)

Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) yang diberi amanah untuk menjaga kebajikan seluruh mahasiswa Johor di Mesir sentiasa mengambil peranan penting di dalam memastikan hubungan sesama teman ini dijaga dengan sebaiknya.

Pelbagai program yang diadakan demi memastikan hubungan ini dijaga dan dipelihara sebagai asas kepada hubungan kekeluargaan itu sendiri. Program Hari Keluarga yang diadakan setiap tahun di Kaherah membuktikan bahawa semangat kekeluargaan ini tidak pernah diambil ringan oleh kepimpinan BKPJM.

Firman Allah Taala yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu adalah bersaudara.”

Justeru, apakah tanggungjawab kita sebagai ahli? Adakah hanya mementingkan diri sendiri tanpa memperdulikan ukhuwah Islamiah sesama kita di dalam persatuan ini?

Walau apapun, sebagai sebuah persatuan, BKPJM sentiasa berterima kasih kepada ahli yang sentiasa memberi sokongan dan pandangan yang bernas demi memastikan kesatuan yang dibina ini akan sentiasa diperkuatkan dengan bantuan daripada Allah Taala. Program-program sepanjang sesi ini yang diadakan di Kaherah memberikan satu input yang luar biasa apabila ramai ahli berkunjung ke Asrama Pelajar Johor di Kaherah. Contohnya, program bazar yang diadakan pada Mac lalu membuktikan bahawa ahli BKPJM sentiasa memberikan komitmen kepada setiap program persatuan.

Bukankah sejarah Islam juga telah menghidangkan kita dengan persoalan ukhuwah Islamiah ini? Lihatlah bagaimana Rasulullah menyatukan di antara kaum Muhajirin dan Ansar selepas penghijrahan Baginda dari Mekah ke Madinah. Rasulullah mementingkan hubungan sesama Muslim dan tidak mengambil jalan mudah mempersaudarakan dua buah kaum ini.

Allah menjelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah (Muhajirin) ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang sudah diberi kepada orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat berhajat.”

Justeru, sebagai teman dan rakan yang berada di dalam naungan BKPJM, marilah sama-sama kita mengambil pengajaran penting sepanjang kita berada di bumi Mesir ini. Bukanlah semata-mata kita menjadikan persatuan tempat berketuk pintu hanya bertanyakan “Ustaz, zakat dah masuk belum?” tetapi lebih daripada itu adalah mepertautkan hubungan sesama rakan dan teman di dalam rumah kebahagiaan ini.

Monday, June 22, 2009

DUNIA BUKU : Pengalaman Sebagai Editor

Antologi Cerpen dan Puisi (2008)

Dialek Arab Mesir (di antara buku best-seller Mesir)

Buku ilmiah (versi cetakan Mesir)

SEPANJANG berada di Mesir, walaupun saya bukan penyelenggara kepada Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM, tetapi saya diberi peluang sebagai editor kepada beberapa buah buku keluaran PMRAM.

Walaupun kebanyakan bidang tugas sebagai editor yang saya lakukan adalah hanya menyusun letak muka surat, membaca pruf bagi setiap perkataan dan ayat, ia adalah satu kerja dan tugas yang murni.

Sebagai editor yang tidak bertauliah, pastinya ada beberapa kecacatan dan kekurangan sepanjang mengendalikan buku-buku tersebut. Namun, saya berasa kepuasan kerana sambil mengedit karya tersebut saya juga dapat belajar daripada isi kandungan tersebut.

Oleh kerana sektor buku kini sudah menjadi laut biru dalam pasaran, saya tidak menolak menjadikan buku sebagai bidang kerjaya. Mungkin juga sebagai penulis sepenuh masa. Doakan sahaja. Ramai teman-teman seangkatan yang sudah duduk goyang kaki menunggu royalti sahaja di rumah.

Walau apapun, menjadi seorang editor juga bukan mudah.

Tambahan :
Gambar di atas adalah beberapa buah buku yang diedit oleh saya. Ketiga-tiga buah buku tersebut juga keluaran PMRAM.

Sehingga artikel ini ditulis, empat buah syarikat 'gergasi baru' di Malaysia sedang menjeling-jeling PMRAM untuk memasarkan buku PMRAM di Malaysia. Syarikat yang mana seharusnya menjadi pilihan PMRAM?



SASTERA : Dunia Faisal Tehrani

Faisal Tehrani (2007)

NAMA Mohd Faizal bin Musa atau dikenali sebagai Faisal Tehrani sudah menjadi siulan dibibir generasi muda hari ini. Barangkali mereka yang mempelajari KOMSAS di peringkat menengah tidak melupakan cerpen "Kerana Manisnya Epal" di dalam antologi KOMSAS 'Anak Laut' Tingkatan Empat itu.

Faisal Tehrani mula mendapat nama setelah berjaya menempatkan nama dalam dunia sastera melalui karya 1515 yang memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) pada tahun 2002. Kemudian berjaya merampas hatrick pada HSKU 2003 dengan karya 1511H Kombat. Setahun kemudian, panel hakim masih menobatkan karya 'Advencer Si Peniup Ney' sebagai karya matang yang mampu berada di pentas kesusasteraan negara.

Alhamdulillah, sepanjang tempoh beberapa tahun ini, banyak karya Faisal Tehrani yang sudah diuliti. Antaranya, Detektif Indigo, Advencer Si Peniup Ney, Manikam Kalbu, Tuhan Manusia, Surat-Surat perempuan Johor, Nama Beta Sultan Alauddin, Ikan Fugu, Lukisan dan Jimson, kumpulan cerpen 'Kekasih Sam Po Bo'. Kini sedang mengkhatami Bedar Sukma Bisu dan 1515, karya epik Faisal Tehrani yang penuh mencabar.

Faisal Tehrani di MHI minggu lalu.


Sunday, June 21, 2009

Selamat Hari Bapa


Bumi yang kita pijak tidak sama.

Antara kita ada saat manis dan hilai ketawa
bermain dalam warna cinta
dan Tuhan mempertemukan makna
sebuah keakraban
dalam jauh yang berdekatan.

Suku abad berlalu
dengan deraian airmata
jarak memisahkan antara dua wajah
damai mewarnakan pelangi
cinta kita dalam diam
antara roh dan jasad
antara loh dan kasad.

Lewat zaman ini
kita bakal dijodohkan
dalam mihrab yang belum terbatas.

Terima kasih Abah.

Kaherah,
Pagi Hari Bapa 2009.

Tambahan :
-Terus pergi mesyuarat rang undang-undang PMRAM!

Friday, June 19, 2009

Motivasi Minda


MAHASISWA biasa yang dilahirkan seperti biasa perlu ada jatidiri yang luar biasa. Barangkali idealisme saya yang kadang-kadang di dalam keadaan luar biasa ini disalah ertikan.

MALAM tadi, saya menghadiri majlis selamat jalan (Jamuan Penutup dan Penyampaian Sijil) kepada pelajar Universiti Malaya bertempat di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah. Program kursus bahasa Arab telah sampai ke puncak apabila program tersebut berjaya diselesaikan dalam jangka masa satu bulan.

Pada hemat saya, program sebegini wajar diteruskan bagi mempromosi mahasiswa dalam negara untuk mengenali sistem pembelajaran bahasa Arab di Mesir. Walaupun ramai mengakui bahawa tempoh satu bulan adalah terlalu singkat tetapi sekurang-kurangnya ada input yang mampu dibawa bekalan oleh generasi muda hari ini. Syabas Universiti Malaya.

Di dalam majlis tersebut, Encik Fauzi mewakili Kuasa Usaha Sementara daripada Kedutaan Besar Malaysia Kaherah yang diberi peluang untuk berucap telah memberi input berguna kepada mahasiswa Universiti Malaya. Antara lain, beliau mengingatkan agar menjadi seorang mahasiswa yang ada nilai.

Tiga kalimah yang menjadi teras seseorang mahasiswa berjaya sama ada di dalam bidang pengajian dan pekerjaan adalah K.S.A. Apa itu KSA?

1. Knowledge (Ilmu)

Mahasiswa yang cemerlang semestinya memperlengkapkan jatidiri dengan ilmu yang mantap. Sebagai pengamal ilmu agama pastinya ilmu agama menjadi teras kepada diri kita disamping ilmu bantu yang lain.

2. Skill (Kemahiran)

Mahasiswa yang cemerlang juga hendaklah mencari peluang dengan berkemahiran sama ada di dalam kemahiran komunikasi, kemahiran ICT dan apa jua kemahiran yang diperlukan sebagai pelengkap jatidiri seorang mahasiswa.

3. Attitude (Sikap)

Adakah sikap kita mencerminkan peribadi kita? Bagaimana pula pembaca menanggapi sikap saya sehingga penulisan saya digelar 'ambitious'? Apa yang penting adalah sikap kita sebagai seorang mahasiswa juga perlu diberi satu latihan agar mampu berhadapan dengan golongan kelas atas, kelas bawah dan kelas pertengahan.

Hiduplah seperti sepohon pokok yang berbuah lebat, dibaling dengan batu dibalas dengan buah.

Thursday, June 18, 2009

ARMA Terbakar : Salah Siapa?

Suasana daripada luar bilik dan bangunan ARMA

Bilik mangsa yang tidak dapat diselamatkan

Wayar elektrik putus dan kebakaran cepat merebak
(Bahang api masih terasa ketika saya berada meninjau lokasi kejadian)

Hanya tinggal kenangan. Katil, almari, pakaian, komputer dan semua peralatan hangus dijilat api

Peraturan daripada Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah kepada penghuni

ASRAMA RUMAH MELAYU ABBASIAH (ARMA) di Kaherah mencatat rekod tersendiri apabila buat kali pertama terbakar semenjak dibaiki oleh pihak kerajaan Malaysia dan selepas menghalau PMRAM duduk di dalam pejabat PMRAM yang berada di dalam bangunan tersebut.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 12.00 tengahari dikatakan berpunca daripada litar pintas sehingga ada dakwaan mengatakan bahawa sistem elektrik menyebabkan punca sebenar kebakaran ini berlaku. Sebanyak tiga buah bomba berkejar ke tempat kejadian dan memadam api yang marak terbakar.

Kejadian telah berlaku di salah satu bilik di tingkat lima yang mengakibatkan mangsa kerugian teruk apabila tinggal sehelai sepinggang. Ketika kejadian, mangsa dikatakan tiada di dalam bilik dan sedang berada di dalam bilik komputer Rumah Melayu tersebut.

Banyak spekulasi timbul selepas kejadian ini berlaku. Sebagai penghuni yang pernah menginap di bangunan ini pada tahun 2005, saya berpandangan ada beberapa perkara yang perlu dikaji semula oleh pihak pengurusan.

Pertama : Ramai penghuni menjadikan alasan bahawa harga makanan di kantin asrama yang terlalu mahal menyebabkan penghuni mengambil peluang menggunakan dapur elektrik di dalam bilik masing-masing untuk memasak.

Apapun, perkara ini masih lagi di dalam peringkat kajian.

Kita khuatir bahawa penghuni ARMA yang berpendapatan rendah tidak mampu menanggung kos makanan harian sehingga memaksa kejadian ini berlaku.

Kita memaksa bahawa pihak bertanggungjawab seharusnya peka terhadap keperluan penghuni yang menginap di situ agar mereka dapat menggunakan pantry room dengan sebaiknya dan isu masak-memasak di dalam bilik masing-masing tidak akan timbul lagi selepas ini.

Kedua, biasiswa dan peruntukan kewangan bagi makan tengahari dan makan malam seharusnya diberikan kepada penghuni agar penghuni yang masih belajar tidak terbeban dengan kos sara hidup yang terlalu tinggi.



Wednesday, June 17, 2009

Kerajaan Perpaduan : PAS Hampir Rebah

ISU dan gagasan kerajaan perpaduan yang diilhamkan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi bin Awang hampir rebah apabila gagasannya itu ditolak mentah-mentah oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.

Kenyataan Nik Aziz yang menganggap Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa sebagai sampah merupakan 'kalam panas' yang seharusnya diberikan perhatian serius oleh seluruh kepimpinan parti.

Kecelaruan ini hanya mendatangkan kesan negatif kepada PAS yang sudah dianggap parti Islam yang mampu diterima oleh rakyat. Pandangan terhadap kerajaan perpaduan ini seharusnya diperjelaskan dengan semasak-masaknya kepada semua ahli agar kepincangan ini tidak akan bernanah di dalam kepimpinan PAS.

Melihat daripada fenomena yang sedang berlaku di dalam beberapa hari ini, PAS bakal menerima kecaman hebat daripada musuh tradisi (pihak lawan) dan mereka akan menganggap bahawa parti sedang berpecah.

Kesilapan besar yang menjadi polemik di dalam PAS adalah gagasan yang cuba dilakukan itu tidak sampai ke puncak dan noktahnya. Oleh yang demikian, pandangan ini benar-benar merencatkan pemikiran semua tokoh baik ulama mahupun profesional yang sedang berasak-asak memikirkan masa depan PAS yang kian rebah.

Sebagai pemerhati, adalah wajar isu kerajaan perpaduan yang sedang dipermainkan oleh UMNO dan Barisan Nasional ini tidak lagi dibicarakan oleh mana-mana pemimpin di dalam PAS. Sesungguhnya UMNO yang sememangnya licik di dalam mengkorupsikan beberapa isu sedang bertepuk tangan melihat pertikaman yang sedang berpencak di dalam PAS sendiri.

Sudah sampai masanya, Presiden PAS menjelaskan kepada semua ahli parti apakah maksud sebenar kerajaan perpaduan yang diilhamkannya itu.

Memahami frasa dan fakta Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, 'kerajaan perpaduan' adalah semata-mata perkongsian idea bagi membentuk kerajaan yang harmoni bukannya PAS masuk UMNO.

Dikatakan bahawa hasrat kerajaan perpaduan hanyalah semata-mata memperjuangkan isu-isu politik tanah air temasuk pilihanraya yang bersih, penghapusan ISA dan beberapa agenda terkini yang sedang bercelaru di dalam negara.


Mari Cipta Peluang

SEPANJANG TAHUN 2009, beberapa buah pertandingan sedang berlangsung :-

1. HADIAH KARYA ILMIAH, DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA

Tarikh tutup : 31 Disember 2009
Hadiah : RM 8,000.00 (bagi setiap kategori)

2. SAYEMBARA NOVEL REMAJA HADIAH SASTERA KUMPULAN UTUSAN 2009

Tarikh tutup : 31 Disember 2009
Hadiah : RM 7,000.00 (Johan)

3. SAYEMBARA NOVEL FIKSYEN SAINS UTM-UTUSAN

Tarikh tutup : 31 Ogos 2009
Hadiah : RM 15,000.00 (Johan)

4. SAYEMBARA NOVEL SEJARAH JOHOR DAN TRADISI III

Tarikh tutup : 31 Disember 2009
Hadiah : RM 35,000.00 (Johan)

Jika ditanya kepada saya, mahu menyertai yang mana satu, sehingga hari ini saya belum ada 'feel' ingin menyertai.


Proses Kreatif vs Non-Kreatif

Pusat cari ilham (macam Plaza Angsana)

Proses kreatif (novel, cerpen, puisi) dan proses non-kreatif (esei, rencana) adalah dua proses berbeza. Kedua-dua proses melalui pelbagai cara untuk menyelesaikannya.

Daripada pemerhatian saya, kedua-dua proses ini adalah kelebihan dan kekurangan masing-masing. Dan bagi yang baru mula mencuba, pilihlah mana-mana genre pun, anda akan merasakan kepuasan setelah menulis.

Penulisan kreatif adalah amat rumit. Ini kerana proses penulisan kreatif memerlukan daya imaginasi yang terlalu tinggi. Ketika saya mengarang kreatif, seluruh tenaga akan digunakan untuk mewakili satu-satu watak. Tetapi pengalaman saya mengarang selalunya berdasarkan pengalaman peribadi. Oleh itu, proses akan berjalan dengan sendiri. Tetapi yang menjadi masalah saya sehingga hari ini adalah bahasa saya masih belum cukup matang. Saya belum mampu menulis dalam kadar 100 patah perkataan per minit. Oleh yang demikian, halangan pertama ini sesekali memaksa saya memberhentikan penulisan kreatif selepas mengarang 250 patah perkataan.

Sebab itu banyak karya kreatif yang saya bina tergantung. Kadang-kadang berpenghujung sekitar 800 patah kata atau 1000 patah kata. Bagi penulisan kreatif, bilangan perkataan bagi satu-satu cerpen adalah sekitar 1500 hingga 2000 patah perkataan. (Bagi penerbitan akhbar dan penerbitan majalah) Oleh yang demikian, amat jarang saya dapat menyelesaikan satu-satu karya dalam satu hari. Selalunya karya itu diperam lebih kurang dua atau tiga hari barulah siap dengan sempurna. Ada juga yang masih berbulan-bulan diperam dan tidak menemui kesudahan.

Ini contoh proses kreatif.

SEUMPAMA bintang di langit tidak berkelip tengah-tengah malam, jiwa kami terus didesak dengan panahan bertubi-tubi. Malu itu kami rasakan. Sepoi unggas yang berterbangan mematikan hujah kami. Entah mengapa kusam warna tapak bumi yang kami lantaikan ini masih belum mengerti perkara yang tersirat di dasar hati.

Barangkali tampak berbeza dengan ayat-ayat di atas bukan? Proses penciptaan ayat-ayat sebegini juga memerlukan imaginasi yang tinggi. Cerpen yang baik adalah menggunakan pemilihan kata yang baik.

Berbanding dengan penulis non-kreatif, karya sebegini bukanlah mudah sebenarnya. Ia tentu lebih merumitkan. Pengarang perlu mengkaji dasar sesebuah penulisan dengan kepadatan isi dan wacana.

Oleh hal yang demikian, kedua-dua proses ini sama ada kreatif atau non-kreatif merupakan suatu proses yang memerlukan pencernaan minda.

Tambahan :

Esok, Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008 di Istana Budaya, Kuala Lumpur.


Tuesday, June 16, 2009

Semacam Hampir Pasti...

Dari kiri : Presiden PMRAM 2008, Presiden PMRAM 2009, Adlan dan Presiden PMRAM 2006-07

SAYA GEMAR membuat andaian terhadap beberapa keping gambar yang dipetik daripada kamera peribadi. Sukar untuk saya mentafsirkan makna kepada keping gambar yang ada ditangan.

Sama ada ramai beranggapan bahawa suratan atau kebetulan, itu saya simpan ke tepi. Tetapi sedari awal yang saya lihat adalah mengapa empat orang ini berada di dalam situasi yang sama.

Apapun, ramalan saya sama ada tepat atau tidak kita akan nantikan pada sesi pentadbiran mendatang.

Adakah Saudara Adlan bakal menjadi Presiden PMRAM pada sesi mendatang...itu yang menjadi persoalan saya.

Tiada Lagi Kring! Kring!

Penulis di Pusat Pentadbiran Negeri Johor

SEMENJAK bergelar ahli biasa, tiada lagi berderang-dering telefon bimbit saya. Orang kata, tidak sempurna hidup tanpa gangguan. Tapi, bagi saya ketenteraman itu jelas terasa. Hihihi.

Selepas berakhirnya peperiksaan ini, walaupun saya bukanlah penjawat awam lagi tetapi bidang tugas saya amatlah besar. Saya perlu 'ganyang' seramai 30 orang petugas daripada PMRAM (Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir) dan 19 orang petugas daripada BKPJM (Badan Kebajikan Pelajar Johor di Mesir).

Makanya, dalam ripuh berprogram banyak tugas yang perlu disusun terutama BKPJM yang akan menghadapi Mesyuarat Agung Tahunan seawal-awalnya pada September nanti. (Itupun kalau PMRAM luluskan tarikhnya).

Tentunya perencanaan program MEGA bagi BKPJM sedang disusun rapi. Begitupun, teman-teman yang bakal pulang ke Malaysia sedang berfikir untuk mengadakan Program Sirih Pulang Ke Gagang sebagaimana tahun-tahun lalu. Teringat bagaimana saya mengendalikan program di Kampung Serkat tiga tahun lalu.

Walau apapun yang berlaku, semangat bekerjasama itu penting!


Sekitar Perjalanan ke Sinai

Di tengah-tengah laut itu...Kubu Salahuddin

Menyeberangi lautan samudera (dalam bot)

Alamak! Bilik Israel. Macam mana boleh diceroboh.

INI adalah kawasan di dalam tanah Kubu Israel yang sudah menjadi muzium bagi kerajaan Mesir selepas Mesir menang di dalam peperangan 6 Oktober 1973 menewaskan tentera Israel.


Penulis di tengah-tengah belantara Kubu Salahuddin Al-Ayubi, Toba
(kawasan ini sudah berhampiran dengan Israel, Jordan dan Arab Saudi)

Jika anda buka telefon bimbit, pastinya akan masuk pesanan daripada Arab Saudi.
WELCOME TO ARAB SAUDI. (Roaming! Jangan angkat telefon)

Serikandi Universiti Malaya yang menuruni Bukit Thursina.

CATATAN ini sebenarnya saya ingin saja simpan di dalam kamus peribadi. Tetapi, sesekali perlu juga berkongsi dengan teman-teman.

Perjalanan ini adalah perjalanan biasa bagi rakan-rakan yang menuntut di bumi Mesir ini. Malah perjalanan yang diadakan pada setiap tahun oleh persatuan ini merupakan sesuatu yang biasa.

Walaubagaimanapun, kesempatan yang diberikan dalam rombongan saya bersama teman-teman daripada Universiti Malaya ini memberikan penambahan thaqafah saya.

Rombongan yang disertai oleh pegawai Jabatan Agama Islam Negeri bahagian penguatkuasaan ini sesekali memberikan ilmu baharu kepada saya.

Yang penting, cukup sempurna!

Monday, June 15, 2009

Menjelang Hari Bapa

HUJUNG minggu ini adalah Sambutan Hari Bapa bagi negara Mesir dan Malaysia. Tarikh yang sama. Hari yang sama. Tetapi keadaan berbeza.

Rakyat Mesir dapat bertemu dengan bapa mereka di Mesir dan rakyat Malaysia dapat bertemu dengan bapa mereka di Malaysia. Tetapi saya, tidak! Aduh..(Ni nak mula telenovela la ni)

Semalam, saya bertemu dengan ayah kepada Akram (pelajar Perubatan) yang terlibat dalam kemalangan minggu lalu sehingga mengorbankan satu nyawa. Betapa saya sebagai seorang anak juga merasai keperitan yang ditanggung oleh seorang ayah yang terpaksa terbang ke Mesir semata-mata bertemu dengan anaknya yang kini sedang terlantar di atas katil hospital.

Aduh!

Inilah dugaan. Sepanjang musim peperiksaan, pelajar yang menuntut di Mesir akan menghadapi situasi yang memelikkan. Sebenarnya, saya juga telah menimpa musibah pada awal peperiksaan lalu. Tetapi pura-pura masalah itu telah hilang dan dibuang ke tepi. Apapun, pengorbanan saya juga amat tinggi kerana berhadapan dengan pihak polis Mesir yang banyak karenah.

Semua orang mesti nak tahu kes apa. Bukan saya masuk lokap pun. Tapi buat laporan di balai polis kes kehilangan barang. Itu sahaja. Barang apa? Jangan tanya. Orang ramai akan mengandaikan 'telefon bimbit'. Bukan! Telefon bimbit saya i-Phone masih berada di tangan.

Berbalik pada cerita di atas.

Menjelang hari bapa hujung minggu ini semestinya banyak perkara yang boleh diceritakan. Saya selalu membuka satu blog ini. Seorang ibu yang jadi penulis. Beliau boleh dikatakan tiap-tiap hari bercerita perkembangan anak-anaknya. Fikir saya, jikalau ibu saya juga seorang penulis alangkah indahnya.

Seorang ibu yang bercerita tentang anak-anaknya. Makin memberi kesan kepada diri. Saya pun anggap blog itu semacam ibu saya sendiri tulis kerana nama anak dia juga Syafiq. (Mula nak perasan)

Catatan kali ini saya anggap sedikit santai kerana menjelang hari bapa yang santai!


Pengarang Prolifik


SAYA tidak pasti, pada tahun bila nanti saya agar digelar penulis prolifik. Malah hari ini (2009) saya belum ada satu judul buku fiksyen mahupun non-fiksyen yang boleh dibanggakan.

Ada juga teman-teman yang sudah berhenti kerja bergaji dengan kerajaan dan swasta malah sudah terjun ke dalam bidang pengarang sepenuh masa. Selepas peperiksaan tadi, saya ke City Star. Tujuannya satu, mencari novel untuk dikaji. Semenjak kepala saya beku menghadap buku-buku bahasa Arab, saya perlu disuapkan dengan genre bahasa baharu. Tetapi kecewanya saya kerana tidak terdapat kedai buku bahasa Melayu. Yang ada hanyalah bahasa Inggeris.

Ketika mencari novel-novel baharu, muncul seorang penulis terhebat Brazil, Paulo Coelho yang menulis berjudul-judul buku malah buku tersebut adalah best-seller kesemuanya. Pada hemat saya, pengarang adalah seorang yang cukup prolifik menghasilkan karya sehingga banyak karya beliau diangkat sebagai International Bestseller.

Pun begitu, menulis sebuah karya tidak sama menulis sebuah biodata peribadi. Amat memerlukan penelitian dan kajian yang mendalam.

Dalam waktu yang sama, ketika saya menyelongkar buku-buku tersebut, sebuah novel bahasa Arab yang berjudul 'Nun' dipamerkan. Kulit buku tersebut melakarkan huruf 'ن'. Pada fikiran saya, jikalau Malaysia boleh menghasilkan karya-karya berjudul sebegini alangkah seronoknya kerana mengajar manusia mengenal huruf jawi. Fikir saya, apalah isi kandungan novel nun itu. Mungkinkah perbahasan berkaitan satu huruf itu ditulis dalam bentuk novel sepanjang 300 muka surat?





Ujian Lisan Seumpama Temuduga Kerja


HARI INI selesai sudah peperiksaan lisan bagi mahasiswa Universiti Al-Azhar, Mesir tahun empat, Jabatan Syariah Islamiah Kaherah. Tetapi, pokok perbincangan saya adalah sebuah fenomena yang seringkali dilihat sepanjang saya menjadi calon ujian lisan.

Bagi mahasiswa Malaysia, barangkali perkara ini sudah maklum. Dan, rata-rata mampu untuk menunaikan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya. Tetapi berlainan pula kepada teman-teman kita daripada negara lain atau budaya yang berbeza.

Saya jadi hairan, mengapa mereka yang hadir untuk peperiksaan ujian lisan tidak menganggap seperti hadir ke dewan temuduga untuk memohon kerja. Pertama, daripada aspek pemakaian calon untuk ke peperiksaan lisan tersebut.

Paling menarik, ada yang berambut panjang (tidak kemas), malah ada yang mewarnakan rambut dengan bermacam-macam warna. Sekiranya saya yang diamanahkan untuk menjadi pegawai peperiksaan pada ketika itu pun, aspek kekemasan juga diambil kira selain daripada soalan yang bakal dijawab nanti.

Ada beberapa perkara yang saya perhatikan semenjak tahun pertama menuntut di Universiti Al-Azhar. Mahasiswa tidak pernah diberikan satu kod etika berpakaian untuk ke kuliah. Sebab itu, kadang-kadang kita ke kuliah pun dengan memakai selipar masuk tandas. Mungkin Al-Azhar tidak pernah mahu menyusahkan anak didiknya sehingga perlu bersusah payah mencari pakaian rasmi untuk ke kelas; tetapi pada hemat saya tanggungjawab harus dipikul sendiri oleh calon dan pelajar.

Sebab itu, apabila ada 'suara belakang' yang seringkali memperlekehkan kemampuan Azhari berada di khalayak semasa ujian temuduga ke tempat kerja, saya jadi tidak hairan kerana perkara ini tidak didedahkan. Menariknya, sebagai penuntut ilmu agama, ada beberapa aspek yang menjadi kekurangan malah kekurangan itu bukanlah sesuatu yang mutlak dan mampu dilatih dan digali dengan kendiri masing-masing.

Dalam sisi yang lain, kita sememangnya mengharapkan mahasiswa kita bukanlah daripada kelas kedua yang mampu dilabel bermacam-macam sedang keperibadian itu mencerminkan jatidiri.

Tambahan :

Belajar metodologi seni berpakaian lebih sukar daripada metodologi feqah.


Friday, June 12, 2009

Genap Dua Tahun : Hari Yang Sama

DUA tahun lalu, Rabu (13 Jun 2007), saya menerima berita cemas pemergian Saudara Mohamad bin Ishak yang ditikam rakan senegara di Mansurah.

Tahun ini, 2009. Pada hari yang sama, Rabu (10 Jun 2009) berita kematian seorang mahasiswa perubatan Kaherah.

Tiba-tiba saya terfikir, apakah dua tahun akan datang pada hari yang sama, bulan yang sama akan ada kes yang sama akan berulang?

Sejujurnya, ini semua ketentuan Ilahi. Barangkali men'takyin'kan sesuatu perkara yang boleh merosakkan akidah adalah tidak baik.

Namun, kerana semua ini kita harus beringat!

Utusan Online, Sabtu 13 Jun 2009

'Saya reda pemergian Amar'

KEPALA BATAS 12 Jun - "Amar anak soleh, baik budi pekerti dan tidak pernah menyinggung hati. Saya reda pemergiannya," kata Siti Fatimah Ramli, ibu kepada pelajar Malaysia yang maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kaherah, kelmarin.

Muhammad Amar Zulkifli, 21, anak sulung daripada tujuh orang adik-beradik merupakan penuntut bidang perubatan tahun tiga di Universiti Kaherah terlibat dalam kemalangan bersama empat rakannya sewaktu pulang dari Ain Sokhna.

Menurut Siti Fatimah, 46, kali terakhir dia bercakap dengan Amar ialah pada Selasa lalu ketika Amar menghubungi telefon bimbit ayahnya, Zulkifli Ismail, 47.

Katanya, Amar berbual dengan ibu dan kesemua adiknya melainkan dengan ayahnya yang pada ketika itu, sedang memandu kereta dari Kuala Lumpur pulang ke Kepala Batas, Pulau Pinang setelah menghadiri Hari Keluarga sebuah badan bukan kerajaan, Himpunan Lepasan Institut Pengajian Tinggi (Haluan).

''Selasa, 9 Jun adalah hari terakhir saya bercakap dengannya. Ketika itu walaupun talian terputus sebanyak dua kali, dia menghubungi semula dan adik-adiknya pula berebut-rebut untuk bercakap dengan dia.

''Amar anak yang ceria, senang bergaul, gemar membantu orang dan mendengar kata ibu bapanya. Memang dia anak yang baik, kehilangannya amat dirasai," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bertam Indah, Bertam di sini malam ini.

Beliau berkata, setelah dihubungi salah seorang rakan anaknya dari Kaherah untuk memaklumkan berita kemalangan yang menimpa Amar, beliau pada mulanya terasa seperti sukar mempercayai berita itu.

Jelasnya, beberapa hari sebelum Amar ditimpa kemalangan sehingga meragut nyawanya, dia bermimpikan kematian tetapi bukan kematian anak kesayangannya itu sebaliknya kematiannya sendiri.

''Mungkin itu petanda yang Tuhan berikan... gerak hati dan naluri seorang ibu terhadap anaknya membuatkan saya merasa resah dan gundah selepas solat Subuh pada beberapa hari lepas.

''Saya tidak tidur sejak 24 jam lalu kerana setiap kali saya cuba memejamkan mata, saya terbayangkan wajah Amar yang dikafankan," katanya.

Katanya lagi, dia menunggu ketibaan jenazah anaknya itu yang dijangka tiba pada hari Ahad dan mahu memegang serta menatap wajah anaknya buat kali terakhir.


Soalan 'Takyin'

SEMALAM saya dan teman-teman tahun akhir Jabatan Syariah Islamiah mengambil soalan 'takyin'. Bagi tahun akhir, peperiksaan syafawi (lisan) dinamakan 'takyin'.

Pada saya, perbezaan yang menentukan di antara peperiksaan lisan dan takyin adalah soalannya. Peperiksaan syafawi (lisan) seperti tahun-tahun sebelum ini, kita sudah tahu apa yang akan ditanya oleh pengawas peperiksaan bermula daripada awal sesi. Malah soalan-soalan yang akan disoal bagi madah feqah, usul feqah dan feqah perbandingan semuanya adalah secara tersusun mengikut tajuk (maudhui).

Tetapi, untuk tahun akhir, calon akan diberikan soalan dalam jangka masa tiga hari sebelum tarikh peperiksaan. Calon dikehendaki mengkaji soalan sepanjang tiga hari ini dan akan ditanya pada hari peperiksaan (ujian lisan) nanti.

Menariknya, soalan takyin bukan daripada maudhui. Tetapi soalan datang daripada kitab turath. Bagi matapelajaran Feqah, silibus yang digunapakai adalah Kitab Qalyubi dan Umairah syarah daripada matan Imam Nawawi (Minhaj Tolibin).

Manakala bagi matapelajaran Usul Feqah, kitab yang biasa digunakan adalah Nihayah Sul (Imam Isnawi) syarah daripada Imam Baidhawi melalui Syarah Minhaj Wusul Fil Ilmu Usul.

Barangkali yang tidak memahami, perkara di atas anggap sahaja begini. Kitab 'Hikayat Hang Tuah'akan ditanyakan di dalam peperiksaan nanti. Iaitu, bukan daripada kitab-kitab biasa tetapi kitab-kitab turath (sumber ilmu asal).

Tetapi, dikhabarkan juga ada sesetengah pengawas peperiksaan tidak bertanyakan soalan berkenaan hukum hakam tetapi yang ditanya adalah nahu dan sorof serta kaedah pembacaan bahasa Arab.

Tunggu rezeki masing-masing.

Laporan Akhbar

Pelajar Malaysia maut nahas di Kaherah

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Kaherah, Mesir, meninggal dunia selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya kelmarin.

Muhammad Amar Zulkifli, pelajar perubatan tahun tiga yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang terbabit dalam kemalangan bersama empat rakannya ketika pulang dari Ain Sokhna, selepas waktu Maghrib, kelmarin (waktu Mesir).

Menurut laporan laman web Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang (Mesir) kenderaan yang mereka naiki terbabas apabila cuba memotong sebuah lori dan mengakibatkan kenderaan itu hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan.

Muhammad Ammar meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat lagi rakannya cedera. Semua mangsa dihantar ke Hospital Kasr El Ainy untuk rawatan lanjut.

Mangsa lain dikenali sebagai Abdul Rahman Ramdzan dikatakan patah lengan kanan, manakala seorang lagi, Akram Abdul Kadir masih koma. Bagaimanapun, dua lagi rakan mereka hanya cedera ringan.

Jenazah Ammar disembahyangkan di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah selepas solat Zohor.

Sementara itu, jurucakap Wisma Putra ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan berkata, jenazah Muhammad Ammar dijangka tiba di Malaysia Sabtu ini. - Bernama

Thursday, June 11, 2009

Ku Kirim Doa Buatmu

DALAM kesedihan pemergian seorang sahabat daripada pelajar Perubatan yang telah pergi buat selamanya semalam atas tragedi kemalangan, hanya doa dipanjatkan ke hadrat Ilahi agar roh Allahyarham bersama golongan para syuhada.

Moga-moga perjuangan sebagai seorang penuntut ilmu di Mesir adalah salah satu daripada ganjaran syuhada Allah s.w.t.

Tiba-tiba ada beberapa perkara yang menjadi iktibar. Pertama, sejauhmana kita menghargai teman dan kawan sepanjang kita hidup bersama mereka.

Kedua, sejauhmana kita memberikan sepenuh kasih dan sayang dalam erti kata memberikan penghormatan terhadap kawan-kawan sepanjang hidupnya.

Ketiga, berapa kali kita pernah menangis kerana kasih dan sayang kepada seorang teman.

Apapun, pemergian ini barangkali ditangisi teman-teman rapat Allahyarham.

Al-Fatihah buat Saudara Ammar Zulkifli, Kaherah, Mesir.




Hiburan, Kelahiran dan Pemergian



HIBURAN

BARU-BARU ini, saya berlibur sebentar di kawasan peranginan. Semacam di Malaysia pula. Oleh kerana sudah lama tidak pulang ke Malaysia ditambah-tambah dengan hidup hiruk-pikuk melihat dataran gurun sahara setiap hari, saya ambil kesempatan mencari ketenangan di celah-celah rimbun hutan Khatulistiwa.

Ada harimau, singa, burung, orang utan dan macam-macam lagi. Menarik!

Tambahan : Mesti ramai bertanya, kami nak pergi juga!

KELAHIRAN


Semalam 10 Jun, ulangtahun kelahiran Ustaz Fakerei yang ke-2X. Teman-teman yang rapat menyambutnya di rumah beliau. Salam Ulangtahun buat Ustaz Fakerei. Selepas ini 'birth' siapa pula?

Tak nak sambut di hotel ke?

PEMERGIAN

Kita baru menerima pemergian seorang sahabat kita daripada Perubatan Cawangan Kaherah yang meninggal dunia akibat kemalangan di Ain Sukhnah, Suez. Beliau adalah Saudara Ammar Zulkifli. Allahyarham bersama-sama empat orang teman di dalam perjalanan pulang selepas mencari tempat bagi berprogram di Ain Sukhnah.

Al-Fatihah.

Tambahan :

Barangkali pemergian ini semestinya memeranjatkan kedua ibu bapa Allahyarham di Malaysia dan teman-teman di Kaherah.


Wednesday, June 10, 2009

Jika Engkau Pergi

Penulis di Puncak Jabal Thursina pada pagi Jumaat, 5 Jun 2009

INI hanya sebuah lirik lagu. Penyanyi Imran Ajmain. Kali pertama dengar lagu ini sebulan atau dua bulan yang lepas. Memang saya tidak ingat. Tetapi, selepas menonton satu drama tv berjudul 'Yusuff', lagu ini telah menjadi latar kepada drama tersebut; sengaja saya menempel lagu di sini.

Drama 'Yusuff' akan pra-kisah kepada Nabi Yusuff, anak kepada Nabi Yaakub. Pada saya, pengarang dan penulis skrip sekurang-kurangnya mengembalikan sirah Islam sebagai satu cara memperkenalkan masyarakat dan dunia Malaysia terhadap drama yang mengangkat sejarah Nabi.


Lagu : Jika Engkau Pergi


Bermulanya semua hanya dengan rasa
ada saja yang tak kena

Rupanya kau berkasih
Menyingkir setia
Sandiwara penuh dusta

Kini ku beri satu amaran
Jangan nanti jadi cabaran
Aku ingin kau memadam kenangan
Menjadi mimpi berterbangan

Chorus

Jika engkau pergi, bulan dan bintang tetap masih di langit
Jika engkau pergi, air mengalir takkan berhenti
Jangan khuatir tentang diri ku
Ku janji takkan merindui mu

Bermusim resah hadir membelai
Menyentuh hati kecewa
Janji sehidup semati
Tinggal tiada lagi
Impian hancur depan mata

Prechorus 2

Semakin terungkap kepastian
Biarlah ku rela melepaskan
Pada mu cinta cuma lah mainan
Sekadar untuk senda bersama

Ulang Chorus

Bridge

Puas sudah ku berikan engkau segalanya
Jalan cerita pun nyata akan berubah

Keputusan Penuh HSKU 2008


Berikut disenaraikan keputusan penuh Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008. Persaingan merebut anugerah ini sememangnya sengit. Daripada satu sudut, saya meninjau ada muka-muka baharu yang layak menerima hadiah dan ada juga otai-otai lama sastera tidak menang anugerah pada tahun ini.

Bagi saya, ini adalah adat pertandingan. Ada yang menang dan ada yang kalah. Tetapi, sejauhmana anugerah itu yang penting kesungguhan Kumpulan Utusan meraikan pemenang-pemenang amat saya hargai. Tahun hadapan adalah Sambutan Jubli Perak (25 tahun) penganjuran hadiah sastera oleh Kumpulan Utusan. Semestinya ramai berharap meraih anugerah terbesar ini.

Saya juga bercita-cita agar 'cerpen' menembusi akhbar Mingguan Malaysia. Tetapi sehingga kini memang sukar menembusi akhbar yang berprestij ini. Dikhabarkan oleh editor, Ku Seman Ku Hussain, beliau menerima karya cerpen tidak kurang daripada lima pada setiap minggu. Bagaimana yang harus beliau lakukan untuk memilih karya yang benar-benar matang untuk diletakkan di akhbar Mingguan Malaysia, lebih-lebih lagi pembaca akhbar ini bukan sembarangan orang.

Sebab itu, pada saya karya yang terbit di Mingguan Malaysia sama ada cerpen atau puisi bukan calang-calang kerana karya itu ditapis untuk diterbitkan kemudian karya itu disaring sekali lagi bagi merebut anugerah di pentas HSKU.

Tahniah kepada pemenang. 19 Jun ini di Istana Budaya! Alangkah indah jikalau saya juga di Malaysia :)

KATEGORI NOVEL REMAJA

Hadiah Pertama (RM 7000)
- Kasih Nan Agung (Sri Rahayu Mohd Yusop)

Hadiah kedua (RM 4500)
Jendela Menghadap Jalan (Ruhaini Matdarin)

Hadiah ketiga (RM 3000)
Meniti Jalan Hadapan (Norziati Mohd Rosman)

KATEGORI CERPEN REMAJA

Hadiah utama (RM 2500 setiap satu)

1. Dari Kalbu ke Kalbu (Azman Ahmad - Ibnu Ahmad al-Kurauwi)
Mingguan Malaysia, 10 Februari 2008

2. Delusi (Alias Ismail)
Mingguan Malaysia. 21 Disember 2008

3. Teman, Cukuplah Kami
Ummi Hani Abu Hassan
Mingguan Malaysia, 14 September 2008

6 Hadiah Penghargaan (RM 800 setiap satu)

1.Avule Aidiladha (Norzana Razaly - Zanazanzaly)
Mingguan Malaysia, 7 Disember 2008

2. Batu-batu di Jalanan (Salman Sulaiman)
Mingguan Malaysia, 9 Mac 2008

3. Beranda (Normaizura Md Zain)
Harmoni, 15-31 Januari 2008

4. Rindu Berladung di Pulau Duyung (Norzana Razaly - Zanazanzaly)
Mingguan Malaysia, 13 Julai 2008

5. Segugus Kyuho untuk Cikgu (Ghazali Lateh)
Mingguan Malaysia, 30 November 2008

6. Tiga Jalur Kasih (Syaidul Azam Kamarudin)
Mingguan Malaysia, 6 Januari 2008

KATEGORI CERPEN

3 Hadiah Utama (RM 3000 setiap satu)

1. Bayang di Tirai Belulang (Khairul Hafiz Abdul Rahman - Serunai Faqir)
Mingguan Malaysia, 30 Mac 2008

2. Di Alam Barzakh (Sujaidi Dasuki - Sabda S)
Mingguan Malaysia, 6 April 2008

3. Lelaki Sang Penjinak Ular (Mohd. Hashim Osman)
Mingguan Malaysia, 3 Februari 2008

6 hadiah penghargaan (RM 800 setiap satu)

1. Di Pagi Syawal, Apakah yang kau cari? (Malim Ghozali PK)
Mingguan Malaysia, 28 September 2008

2. Dia dari Penjuru Tahun Lalu (Mawar Shafei)
Mingguan Malaysia, 4 Mei 2008

3. Madrasah Mustaqim (Nazri Hussien - Husna Nazri)
Mingguan Malaysia. 20 April 2008

4. Masjid - S.M Zakir
Mingguan Malaysia, 9 November 2008

5. Sayalah Walinong Sari (Aminah Mokhtar)
Mingguan Malaysia, 2 November 2008

6. Senapang (Muhammad Lutfi Ishak)
Mingguan Malaysia, 110 Ogos 2008

KATEGORI PUISI

3 Hadiah Utama (RM 1500 setiap satu)

1. Potret Lima Puluh Tahun (Ahmad Shukri Abdullah)
Mingguan Malaysia, 30 Mac 2008

2. Sang Semut (Fahd Razy)
Mingguan Malaysia, 11 Mei 2008

3. Sepotong Cina di Dunia Angin (SM Zakir)
Mingguan Malaysia, 30 Mac 2008

6 Hadiah Penghargaan (RM500 setiap satu)

1. Pada Glaukoma ke Ahmar (Abd Razak @ Rezeki Othman)
Mingguan Malaysia, 30 Mei 2008

2. Bahasa Kejadian II (Fahd Razy)
Mingguan Malaysia, 8 Jun 2008

3. Kembali ke Kampung Tradisi (Shamsudin Othman)
Mingguan Malaysia, 21 September 2008

4. Parut Tanda Tanya di Tubuh Merdeka (Sahrunizam Abdul Talib)
Mingguan Malaysia, 12 Januari 2008

5. Perjalanan Pohon (Malim Ghozali PK)
Mingguan Malaysia, 15 Jun 2008

6. Syarah Sejarah 9 (Muhammad Lutfi Ishak)
Mingguan Malaysia, 30 Mac 2008

KATEGORI KAJIAN & RENCANA SASTERA

Kajian Sastera (RM 2000 setiap satu)

Prasangka Orientalis terhadap Bangsa Melayu (Dr. Awang Azman Awang Pawi)
Pemikir, April-Jun 2008

Rencana Sastera (RM 1000 setiap satu)

Penulis Ulul Albab dan 'New Man' (SM Zakir)
Mingguan Malaysia, 13 Januari 2008

Tiada pemenang bagi kategori novel remaja Bahasa Inggeris

Majlis HSKU 2008 akan diadakan pada 19 Jun ini di Istana Budaya, KL jam 8.00 malam. Orang ramai dijemput.

Tuesday, June 09, 2009

Produk Baru PMRAM

Beg Kecil
Harga : LE 5.00


Beg Kuliah versi 1
Harga : LE 35.00


Stiker Kuliah (ditampal pada buku masing-masing)
Harga : LE 2.00


Beg Kuliah versi 2
Harga : LE 55.00

Beg Pulang Ke Kampung Halaman
Harga : LE 60.00

Kotak Pensel Kain

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) berdiri kukuh di bumi Mesir disebabkan ekonomi yang kuat. Sebagai sebuah persatuan pelajar, kita akan terus mengeluarkan produk-produk baru kepada semua mahasiswa Malaysia yang berjumlah 8,000 orang (termasuk pelajar perubatan) agar program-program MEGA kita mampu laksanakan tanpa memerlukan bantuan daripada pihak luar.

Biasanya program-program besar, kita akan menanggung sekitar LE 20,000.00 dan ke atas. Tanpa ekonomi yang kukuh, kita tidak mampu mengadakan program yang MEGA.

Pelanggan kita umum. Kita tidak pernah membezakan jantina, keturunan, budaya, ataupun sebagai agama. Malah, mahasiswa darpada Indonesia, Kemboja, Singapura dan Brunei juga merupakan pelanggan kita.

Sepanjang duduk di kerusi pentadbiran pada sesi lalu, saya pernah menerima bayaran daripada seorang pelanggan dengan jumlah yang besar. Sekitar LE 2,000.00. Saya melihat mahasiswa di bumi Mesir akan ke pejabat PMRAM untuk membeli barang keperluan mereka pada waktu-waktu berikut :-

1) Ketika program-program berlangsung.
2) Ketika mahasiswa baru tiba di Mesir.
3) Ketika mahasiswa mahu pulang ke Malaysia.

Banyak pihak yang meminta kedai PMRAM dibuka cawangan ke kawasan sekitar Hayyu Asyir dan sebagainya. Kita masih belum bersedia membuka cawangan-cawangan di tempat lain. Namun, sekiranya mendesak kita akan membukanya. Insya-Allah.

Kita akan usahakan agar sistem diskaun dilakukan kepada mana-mana pemegang kad PMRAM supaya semua ahli PMRAM mendapat diskaun yang berpatutan. Usaha itu masih di dalam perbincangan.

Moral : Kita mahu semua mahasiswa bertandang ke pejabat PMRAM untuk membeli barang tersebut. Mahasiswi pula boleh mendapatkan keperluan di Markaz Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) PMRAM.


Monday, June 08, 2009

Universiti Al-Azhar Buat Kejutan!

Mereka yang faham bahasa Arab boleh baca iklan ini

FAKULTI SYARIAH DAN UNDANG-UNDANG, Jabatan Syariah Islamiah, Kaherah membuat kejutan hari ini apabila mengumumkan peperiksaan 'ulangan' bagi kertas Usul Feqh bagi tahun 4.

Pengumuman itu ditampal dan diumumkan di dalam peperiksaan pada hari ini. Peperiksaan bagi kertas Usul Feqh yang telah berlangsung pada 25 Mei yang lalu diulang sekali lagi pada 18 Jun ini atas sebab-sebab yang tidak dimaklumkan.

Namun, saya sebagai calon yang menduduki peperiksaan pada 25 Mei yang lepas juga menerima pengulangan ini disebabkan soalan Usul Feqh (maudhui) adalah bukan daripada buku yang dikeluarkan oleh Universiti Al-Azhar.

Saya fikir perkara ini telah dibawa sehingga ke peringkat atasan menyebabkan pengulangan terpaksa dilakukan oleh pihak fakulti.

Sebagai calon, saya menerima pengulangan ini. Peperiksaan dijangka akan diulang semula pada 18 Jun ini.

Dalam masa yang sama, mahasiswa tahun empat ini juga yang menjadi 'mangsa' ketika kehadiran Obama pada Khamis lepas. Oleh yang demikian, peperiksaan yang dijadual pada 4 Jun lepas telah ditunda pada 14 Jun 2009.

Kesimpulan :

Saya perlu empat kali masuk peperiksaan.

11 Jun - Mengambil soalan syafawi (takyin) di universiti.
14 Jun - Kertas Bahas Qadaya (ganti masa kes Obama)
15 Jun - Peperiksaan Lisan (Al-Quran, dan soalan daripada takyin)
18 Jun - Peperiksaan ulang semula Usul Feqh bagi maudhui sahaja


Sunday, June 07, 2009

Yang Dinanti-Nantikan


BARANGKALI pengurus penyelenggaraan komputer berkejar-kejar untuk kenduri kahwin hari Ahad, 7 Jun 2009. Oleh yang demikian, keputusan tidak dapat diumumkan melalui versi internet.

Saya mengucapkan tahniah kepada pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008. Persaingan cukup sengit sehingga saya meninjau ada muka-muka baharu yang turut meraih anugerah berprestij ini. Tahniah sekali lagi.

Berikut adalah keputusan bagi pemenang Hadiah Utama sahaja. Keputusan ini diambil daripada penyelenggara Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Saudara Rozlan Mohamed Noor.

Ucapan tahniah ini khas buat Fahd Razy yang sememangnya sudah diramal menggondol anugerah bagi kategori puisi. Paling menyeronokkan beliau juga memenangi hadiah penghargaan. Bergandalah kemenangan yang diraih.

PEMENANG KATEGORI NOVEL REMAJA

Pertama : Kasih Nan Agung karya Sri Rahayu Mohd Yusop
Kedua : Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin
Ketiga : Meniti Jalan Hadapan karya Norziati Mohd Rosman

PEMENANG KATEGORI CERPEN REMAJA

Dari Kalbu ke Kalbu ; Azman Ahmad (Ibnu Ahmad al-Kurawi)
Delusi ; Alias Ismail
Teman, Cukuplah Kami ; Ummi Hani Abu Hassan (Ummu Hani Abu Hassan)

PEMENANG KATEGORI CERPEN

Bayang di Tirai Belulang ; Khairul Hafiz Abdul Rahman (Serunai Faqir)
Di Alam Barzakh ; Sujaidi Dasuki (Sabda S)
Lelaki Sang Penjinak Ular ; Mohd Hashim Osman

PEMENANG KATEGORI PUISI


Potret Lima Puluh Tahun ; Ahmad Shukri Abdullah
Sang Semut ; Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy (Fahd Razy)
Sepotong Cinta di Dunia Angin ; Syed Mohd Zakir Syed Othman (S.M. Zakir)

PEMENANG KATEGORI KAJIAN DAN RENCANA SASTERA

Prasangka Orientalis terhadap Bangsa Melayu ; Awang Azman Awang Pahi
Penulis Ulul Albab dan 'New Man’ ; Syed Mohd Zakir Syed Othman (S.M. Zakir)
Tambahan :

1. Cerpen saya yang memenangi hadiah pada tahun lalu sedang diusahakan penerbitannya oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Semoga karya jawi ini akan menjadi sebahagian daripada hasil penulisan kita di dalam memartabatkan penulisan jawi di tanah air.


Saturday, June 06, 2009

Merakam Pengalaman Bersama Mahasiswa Universiti Malaya

Dua hari saya bercuti. Tidak berada di Kaherah.

Merakam Pengalaman Bersama Mahasiswa Universiti Malaya


KEHADIRAN Obama ke bumi Mesir tidak membawa apa-apa keistimewaan. Sudahpun begitu, saya mengambil peluang bersama-sama teman daripada Universiti Malaya di dalam rangka pembelajaran dan kursus bahasa Arab selama satu bulan di Universiti Kaherah, Mesir untuk pergi bercuti.

Barangkali juga, pengembaraan kali ini akan terus tercatat di dalam diari peribadi kerana pengalaman bersama teman-teman daripada Universiti Malaya, Kuala Lumpur tidak dapat dilupakan. Saya diberi peluang bersama-sama kumpulan ini ke Semenanjung Sinai.

Sinai bukanlah satu nama asing bagi pelancong atau pengunjung yang melawat negara Mesir. Sinai merupakan satu kawasan sejarah yang merakamkan pengalaman panjang seorang Nabi Allah iaitu Nabi Musa A.S.

Sirah dan catatan perjalanan Nabi Musa dirakamkan di dalam Al-Quran menerusi penceritaan secara zahiriah mahupun pentafsiran melalui ulama-ulama tafsir di dalam tafsirnya.

Rombongan kali ini dianggotai oleh 24 orang mahasiswa Universiti Malaya, 20 perempuan dan 4 lelaki dan dua orang wakil daripada Jabatan Agama Islam Negeri yang kini di dalam kursus Darul Ifta selama tiga bulan di Mesir di bawah tajaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Malah turut bersama adalah lima orang pengurus yang membantu perjalanan teman-teman kita ini.

Destinasi percutian selama 48 jam ini membawa saya ke beberapa buah destinasi terpilih. Antaranya bandar Toba dan Semenanjung Sinai yang masih segar dengan ketamadunannya dan tidak sedikit pun mencacatkan pemandangan.

Saya tidak berhajat mencatat panjang. Apapun, terima kasih kepada penganjur yang mempelawa saya bersama-sama di dalam kembara dan ekspedisi ini.

Tambahan :

Menaiki 'Puncak Sinai' buat kali kedua memberi keinsafan kepada saya agar tidak naik lagi kerana terlalu penat.

Teman-teman daripada Universiti Malaya juga bercita-cita tidak akan naik lagi ke puncak kerana menghadapi situasi yang sama seperti saya. :)


Wednesday, June 03, 2009

Dasar Terbuka Pendidikan Mesir

Barangkali inilah MoU yang ditandatangani di antara kedua-dua kementerian.

SATU memorandum (MOU) persefahaman telah termetrai di antara Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi Mesir untuk menghantar mana-mana pelajar perubatan di Mesir. Di antara universiti yang terlibat adalah Universiti Mansurah, Universiti Tanta, Universiti Zaqaziq dan Universiti Iskandariah.

Namun, adakah persefahaman yang ditandatangani itu merupakan satu dasar terbuka kepada pelajar perubatan di Mesir ini?

Tahukah kalian, semenjak lambakan pelajar persendirian (perubatan) ke Mesir, satu tamparan hebat telah mengenai pelajar-pelajar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Kita sedia maklum, pelajar yang dihantar ke Mesir melalui JPA dan MARA melalui satu tapisan khas yang diadakan semenjak daripada Malaysia. Pelajar-pelajar disaring dan akhirnya dibantu melanjutkan pelajaran ke Mesir dengan bantuan daripada kedua-dua buah agensi kerajaan tersebut.

Namun, kita khuatir kreadibiliti mahasiswa perubatan ini akan tercalar dek lambakan pelajar daripada pihak persendirian. Bukan ingin menyalahkan mereka secara total, tetapi saya yakin imej perubatan akan tercalar apabila pelajar persendirian yang datang ke Mesir tidak mendapat keputusan cemerlang dalam SPM, tetapi akhirnya atas dasar terbuka pendidikan ini menyebabkan mereka yang berkemampuan mampu belajar perubatan di Mesir.

Saya difahamkan kos pengajian bernilai RM 30,000 setahun. Oleh yang demikian, mana-mana keluarga yang mampu menyara anak mereka ke sini, mereka akan menghantar melalui ejen-ejen persendirian walaupun dengan mendapat 4B di dalam matapelajaran sains tulen di peringkat SPM.

Dasar Terbuka Pendidikan Mesir dikhuatiri akan mencacatkan keluaran mahasiswa perubatan di dalam jangka masa 10 tahun mendatang. Dan, barangkali tidak mustahil 5 tahun mendatang sudah ada mulut yang bising-bising;

"Ini keluaran perubatan daripada Mesir?"
(Saya merujuk kepada pelajar persendirian yang tidak serius dalam pendidikan sebagaimana pelajar pengajian Islam)

Apa jua perkara yang berlaku, kita yakin Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia memantau gerakan penghantaran ini. Walaupun sudah ada kebisingan di dalam kementerian sendiri kerana ejen-ejen ini tidak melalui KPTM untuk berurusan malah mereka menggunakan istilah 'jalan belakang'.

Kita takut nanti kementerian tidak dapat mengawal lambakan mahasiswa dengan dasar terbuka ini apabila pelajar yang tidak mempunyai asas bahasa Arab ataupun tidak belajar bahasa Arab di sekolah menengah mampu hadir ke Mesir.

Sebab itu jangan pelik bahawa pelajar Malaysia 'tidak bertudung' sudah belambak di Mesir gara-gara dasar terbuka ini dan memberi peluang kepada mana-mana sekolah menengah(bukan sahaja SMKA) mampu meneruskan pengajian ke Mesir tanpa pendidikan bahasa Arab.

Tambahan :

1. Kita mahu Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia serius di dalam hal-hal ini.
2.Kita tidak menyekat mana-mana pelajar persendirian ke Mesir tetapi perlu mengikut prosuder Kementerian.
3. Kita tidak malu pisang berbuah dua kali, kerana mahasiswa pengajian Islam sudah dituduh-tuduh bermacam-macam terhadap sistem pengajian mereka.




Vokal Suara Latar


Rakaman suara yang dibuat untuk program dokumentari yang terbengkalai

SUARA memainkan peranan penting di dalam berkomunikasi. Pengalaman saya sepanjang berada di Mesir, saya pernah dijemput untuk mengisi sebuah program dan menjadikan suara saya sebagai 'suara latar'. Dengan jemputan tersebut saya berpeluang merakamnya selama hampir lima jam di bandar Tanta.

Tetapi, sehingga hari ini suara saya yang digunakan untuk membuat latar program tersebut masih belum dibayar. Bukan masalah bayaran sebenarnya tetapi saya kecewa kerana VCD yang dijanjikan kerana menggunakan suara saya untuk dijadikan latar tidak dapat sehingga hari ini. Apa yang harus saya lakukan?

Kalau diizinkan, saya mahu dalami ilmu seni suara ini dengan sebaiknya. Insya-Allah. Tetapi sehingga hari ini saya kurang pasti, apakah ada kelas pembelajaran seni suara ini? Barangkali dunia kewartawanan ada!

Tuesday, June 02, 2009

Diari

Justify Full
Al-Hidayat, Fitnah, Ulang Tahun, Obama dan Peperiksaan.

HARI INI saya menerima kunjungan hormat daripada Saudara Al-Hidayat daripada bandar Zaqaziq. Terima kasih kerana sudi bertemankan sunyi saya. Barangkali, saya bukan orang pasif. Oleh yang demikian, peperiksaan ini yang memaksa saya menghadap buku 24 jam menyebabkan saya akan 'mengamuk' sendirian.

Ya. Rutin harian saya adalah bermasyarakat dan turun berprogram. Malah pada saya, duduk di rumah dan hanya menghadap kitab ilmiah 100% boleh memuntahkan minda dan diri. Sebab itu, kunjungan teman-teman ke rumah barangkali melepaskan kebuntuan itu.

Ada beberapa perkara yang kami bincang. Bukan soal wanita. Walaupun saya tahu, Al-Hidayat cukup 'intim' dengan kaum wanita. Barangkali juga adik-adik perubatan di Zaqaziq ramai terpikat pada ke'macho'an beliau; tetapi sayang beliau sudah berteman.

Fitnah

KALI ini fitnah bertamu semula. Masih lagi ramai membenci kepimpinan saya. Biarlah. Saya yakin kepimpinan saya dilantik atas dasar tanggungjawab dan keikhlasan mereka membantu agama Allah. Moga-moga kepimpinan saya kuat. Ini kes kali ke berapa kepimpinan saya difitnah.

Semalam, rakan sejawat menghantar SMS daripada Malaysia berkenaan tekanan yang dihadapi. Saya doakan moga-moga beliau kuat dan tabah.

Ulang Tahun

Kek di atas adalah kek yang dibeli sempena Ulang Tahun kelahiran Saudara Adlan. Hari ini 2 Jun. Ulang tahun kelahiran Saudara Muhammad Kamarul Nizam Adam. Teman saya di Fakulti Pendidikan Islam, Universiti Malaya.

Salam Hari Lahir buat teman. Saya tidak mahu mengulas panjang tentang beliau saat-saat perpisahan berlaku enam tahun yang lalu. Bagi saya, teman...cukuplah bagi kita. Apapun, saya pernah bekalkan beliau dengan sebuah buku daripada Kota Kaherah ini. Moga-moga ada lagi peluang untuk saya bekalkan beliau khazanah ilmu daripada sini.

Obama dan Peperiksaan

Kerana seorang pemimpin kanan Amerika Syarikat ini akan berucap di Universiti Kaherah, Mesir pada 4 Jun ini, kertas peperiksaan saya yang dijangkakan iaitu 'Bahas Qadaya' akan ditangguhkan. Daripada satu sisi, saya amat kecewa kerana menunggu jadual baharu lebih seksa.

Apapun, 'Bahas Qadaya' adalah kertas peperiksaan yang saya akan hadapi selama 1 jam 30 minit sahaja kerana 50% markah lagi akan berkongsi dengan 'Bahas Qawaid' yang saya sudah hadapi pada peperiksaan Januari lalu.

Saya bersetuju dengan cuti yang diberikan kepada Universiti Al-Azhar pada hari Khamis ini. Pertama, bandar Kaherah akan sesak sekiranya tidak bercuti. Saya berpengalaman duduk bersembang dengan pakcik arab di dalam teksi, dan bertanya mengapa jalan raya di bandar Kaherah selalu sesak. Katanya, saudara; ini bandar Kaherah. Penduduk berjuta-juta.

Saya sudah dapat dengar 'kebarangkalian' yang akan diucapkan oleh Obama nanti pada hari Khamis ini terhadap perjanjian dengan dunia Islam, Palestin dan Israel.

Apapun, kita nantikan kemuncaknya!

Amni Insyirah : Menjejaki Usia Dua

Amni Insyirah bt Aqib

SUDAH lama tidak mempromosikan 'anak saudara' sendiri. Amni Insyirah bakal menyambut ulang tahun kelahiran yang kedua Julai nanti. Sedang menjengah-jengah Facebook kakak saya disamping melihat video Amni yang bersuka ria di kolam renang (rasanya macam kolam renang tu kat rumah saya), saya mengambil peluang 'catch' gambar ini.

Saya rasa perlu bikin satu cerpen atau novel berjudul Amni Insyirah. Pasti meletup.


Debaran HSKU

BULAN Jun adalah bulan mendebarkan. Bagi pencinta sastera, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) yang masuk tahun ke-24 amat mendebarkan.

Seperti artikel saya sebelum ini, saya menanti-nanti pemenang yang bakal 'merampas' gelaran bagi kaki novel remaja, cerpen dan puisi. Tetapi yang lebih utama adalah siapakah yang bakal merampas kedudukan Novel 'Warisnya Kalbu' karya Siti Rahayu Mohd Yusof, juga 'Tawarikh Cinta' karya Nisah Haji Haron dan 'Baromkeh : Matamu di Mataku' karya Ummu Hani Abu Hassan.

Ingat! Tahun lalu ketiga-tiga pemenang novel remaja dikaut oleh generasi hawa. Apakah Zaid Akhtar bakal mengulangi kejayaan 'Justeru Impian di Jaring'? Atau Faisal Tehrani yang kini di India akan pulang membawa resah sebagaimana lahirnya '1515' atau 'Advencer Si Peniup Ney'?

Semuanya bakal menjadi pertaruhan. Apa juga yang dinantikan debaran semakin kencang. Malam penyampaian anugerah 19 Jun ini di Istana Budaya akan menjadi kenyataan segalanya.

Tambahan :

Abang Rozlan selaku sekretariat program sedang berpenat-lelah. :)

Baca debaran lagi yang ditulis oleh Kak Nisah di sini