Assalamualaikum w.r.b.
Kehadapan Saudara Khusaini dan Saudari Hafsah yang dihormati, moga-moga kalian berdua berada di dalam keadaan sihat hendaknya.
Setelah dua tahun saya bersama kalian, kini tiba masanya erti dan makna ‘perpisahan’ itu bakal berlaku. Terima kasih kerana menjalankan tanggungjawab dan amanah sebagai seorang Badan Pengurus dan HEWI yang saya kira amat besar pengorbanan tersebut.
Saudara Khusaini yang disayangi,
Sudah terang lagi bersuluh, saudara sanggup meninggalkan Dewan Perwakilan Mahasiswa Shoubra semata-mata menghidupkan dan membangunkan PMRAM. Pada saya, itu adalah sebuah pengorbanan yang teramat besar yang saudara telah korbankan.
Kenangan yang dicipta selama dua tahun itu tidak akan saya lupakan. Kadang-kadang kita pernah menangis kerana dicemuh oleh ahli, kadang-kadang kita terharu kerana menghargai sumbangan ahli dan kadang-kadang kita ketawa kerana ingin menyelesaikan masalah peribadi.
Itu semua adalah perjalanan yang saya kira tidak akan bermatian. Bukankah saudara ingat detik-detik yang tidak pernah boleh dipadam selama kita bersama-sama menggerakkan PMRAM selama ini.
Jika saya mengulas satu persatu kenangan itu, barangkali akan melimpah besar airmata saya kerana terlalu merindukan masa-masa yang lalu.
Saudara Khusaini yang disayangi,
Kita akan dipisahkan dengan satu tempoh dan waktu yang panjang. Dan, entah bila kita akan bersua lagi. Doakanlah perjalanan PMRAM dan kami di sini. Terima kasih kerana menunggu sehingga tamatnya Muktamar Sanawi PMRAM kali ke-76 pada hari Khamis yang lalu. Saya kira Saudara dan Saudari Hafsah lah di antara dua insan yang terlalu berkorban masa walaupun sudah ‘dipaksa-paksa’ untuk pulang ke Malaysia kerana sudah tamat pengajian di Mesir.
Terima kasih sekali lagi di atas pengorbanan tersebut. Barangkali persidangan muktamar yang lalu adalah persidangan terbaik kerana semua 30 orang kepimpinan kita masih kukuh berada di atas pentas pengadilan.
Saudara Khusaini yang disayangi,
Maafkan segala kesilapan yang pernah saya lakukan terhadap saudara. Halalkanlah segala makan-minum yang saudara belanja saya dan rakan-rakan selama ini. Dan, saya pasti ada insan yang akan ‘menangis’ tatkala saudara pulang hari Sabtu nanti.
Biarlah saya simpan nama insan tersebut. Tetapi yang boleh saya ‘lakarkan’ adalah seorang insan yang punya ‘motor’ seperti saudara. Berulang-alik membaiki motorsikal dengan saudara. Dan, bermacam-macam lagi kateria insan tersebut yang sinonim dengan saudara.
Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan.
Ustazah Hafsah yang dihormati,
Pertama, izinkan saya memohon ampun dan maaf sepanjang saya bertugas dengan ustazah sebelum ini. Saya pernah diamanahkan sebagai Setiausaha Agung PMRAM dan ustazah sebagai Setiausaha HEWI PMRAM. Banyak amanah yang saya tidak dapat selesaikan, saya mohon ampun dan maaf.
Sepanjang penglibatan saya dan kerja yang saya lakukan bersama ustazah, harapnya diampunkan segala kekurangan. Saya adalah insan kerdil yang terlalu banyak kekurangan. Kadang-kadang apabila diketuk barulah insan ini tersedar daripada kealpaan.
Ustazah Hafsah yang dihormati,
Ustazah amat berpotensi menjadi seorang serikandi yang menggegarkan umat di Malaysia. Ustazah amat berkelayakan menjadi pemidato wanita yang disegani. Saya bersama rakan-rakan mendoakan agar ustazah akan sentiasa menjadi pemimpin yang dihormati oleh masyarakat khususnya di Malaysia nanti.
Moga kita dipertemukan lagi di dalam acuan arena yang sama apabila pulang nanti.
Salam Perpisahan
Syafiq Zulakifli
Akan datang... Surat Untuk Adlan Mokhtaruddin
Ulasan