Langkau ke kandungan utama

Komsas: Perlu peka protes A. Samad Said

Dipetik daripada Akhbar Utusan Malaysia, 14 Februari 2008

KISAH A. Samad Said yang tidak ingin lagi digelar Sasterawan Negara sangat mengejutkan saya dan menyebabkan saya ingin meluahkan perasaan kecewa dan sedih di atas kehilangan gelaran yang jelas mencerminkan diri beliau itu.

Alasan yang diberikan oleh A. Samad Said agar gelaran itu digugurkan adalah berkaitan dengan karya-karya cadangan sebagai teks baru Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) 2010.

Kementerian Pelajaran mungkin perlu melihat semula keputusan penukaran teks sastera sekolah dengan novel-novel remaja popular yang ringan dan tidak berisi dengan kualiti sastera.

Alasan mereka adalah kerana teks yang sedia ada terlalu berat dan tidak sesuai. Sepatutnya pemahaman mereka tentang teks sastera itu haruslah dibantu dengan latihan integrasi yang boleh menolong pelajar-pelajar memahaminya dengan lebih mudah, bukannya berkompromi dengan kualiti teks sastera tersebut dan memilih teks novel popular yang tidak sesuai langsung untuk dijadikan ilmu pengetahuan yang utuh bagi generasi depan.

Apa pentingnya status lulus jikalau anak-anak remaja mahukan yang ringan dan mudah? Mana perginya kualiti sastera dan sanggupkah kita kehilangan identiti bahasa yang selama ini puas dipertahankan oleh segelintir golongan profesional ini?

Meskipun saya sendiri bukanlah seorang mahir dalam bahasa Melayu tetapi secara jujurnya saya rasa terkilan kerana rakyat Malaysia mungkin tidak akan lagi mementingkan kemahiran berbahasa Melayu dan anak-anak ini tidak akan tahu lagi Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk karya Hamka.

Setelah diperhatikan sejak tiga atau empat tahun kebelakangan ini, Kementerian Pelajaran hanya mementingkan kuantiti kelulusan dan bukan lagi kualiti yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar generasi ini.

Perlu diingatkan, barisan pemimpin dan profesional yang masih berdiri hari ini bukanlah hasil dari kualiti sastera picisan.

Oleh itu, mahukah kita melihat generasi akan datang menjadi generasi yang serba malas dan mahukan hanya kesenangan untuk lulus semata-mata?

Karya novel remaja yang disenaraikan dalam semakan Komsas 2010 hanyalah sesuai dibaca ketika bersantai atau sebagai bacaan tambahan dan ia tidak sesuai langsung untuk dibawa diskusi dalam kelas oleh guru.

Kementerian Pelajaran haruslah peka terhadap tindakan A. Samad Said ini dan hormati insan yang penuh ilmunya ini - sesungguhnya hanya jauhari yang mengenal manikam.

Janganlah hanya membanggakan graf yang tidak putus-putus menunjukkan peningkatan lulus dan melupakan kualiti masyarakat yang dihasilkan. Lupakanlah ego untuk mencipta nama dalam melahirkan kegagalan sifar tetapi kita alpa dalam menitikberatkan jumlah ilmu yang diperoleh dalam alam persekolahan.

Bila lagi agaknya generasi muda kita ini akan mendapat pendidikan awal tentang sastera bahasa Melayu yang patut dibanggakan?

Kalau diperhatikan, sastera yang dipertahankan oleh A. Samad Said adalah karya yang mempunyai lenggok bahasa yang sungguh lembut dan bersopan, malah saya sendiri mudah terikut dalam perbualan seharian dan ia menjadikan rakan-rakan menjadi terkejut kerana penggunaan prosa kata yang sangat jarang dipraktikkan itu.

Malangnya karya novel sekarang telah hilang identiti itu dan anak-anak remaja mudah sahaja merosakkan semua itu dalam perbualan harian.

Bangkitlah wahai pembaca sekalian, belalah nasib kualiti sastera yang akan hilang di mana ia bakal digantikan dengan novel picisan di mana bahasanya bersifat rojak dan ini bakal menjadi ikutan anak-anak remaja zaman sekarang.

Mahukah kita lihat kejahilan anak-anak remaja kita ini tentang sastera dan tidak lagi mengenal siapa Tongkat Warrant? Memanglah beliau bukan raja SMS, artis glamor atau produk rancangan realiti yang kini lebih diberi perhatian oleh masyarakat, tetapi beliau adalah ilmuwan yang sukar diganti.

Kepada A. Samad Said, saya sedih setiap kali membaca kekecewaan anda namun anda tetap akan menjadi Sasterawan Negara dalam hati saya.

– AZREENA,

Seremban.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kubu Kota Kaherah struktur terhebat tamadun Islam

Susunan ZUNAIDAH ZAINON KUBU Kota (Citadel) adalah monumen terhebat dari zaman pertengahan yang telah mencipta panorama menarik di seluruh bandar Kaherah, Mesir sejak 700 tahun lalu. Selain menjadi tarikan pelancong dari seluruh pelosok dunia, binaan Kubu Kota adalah struktur terhebat dalam sejarah keagungan tamadun Islam. Gabenor Hatim Ibn Hartama dipercayai membina astaka Dome of the Wind pada tahun 810. Kemudiannya, pada 1176, Salah ad-Din (turut dikenali sebagai Saladin) iaitu pemerintah Abbasiah (1171-1193) menukar fungsinya daripada kawasan peranginan kepada kubu pertahanan dan melindungi kawasan tersebut daripada serangan tentera Kristian dalam Perang Salib. Menurut cerita legenda, Salah ad-Din memilih lokasi tersebut untuk mendapatkan udara segar. Ini disebabkan kebanyakan daging yang disalai telah menimbulkan bau yang kurang enak di seluruh bandar kecuali kawasan di sekitar kubu kota. Bagaimanapun, lokasi tersebut amat strategik dan mampu berfungsi sebagai benteng pertahanan.

SAMBUNG BELAJAR KE MESIR

NOTA KEMASUKAN SESI 2020/2021 ============================= UPDATE INFO TERKINI Pengalaman yang selalu membuatkan seseorang cinta untuk menimba pelbagai ilmu. Pengalaman melihat kawan-kawan yang berjaya dilahirkan melalui kampus pengajian di bumi Mesir juga merupakan satu pengalaman yang tidak mampu dijual beli. Tinggalkan pengalaman saya yang telah menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir pada tahun 2004-2009. Itu adalah suatu pengalaman yang amat-amat bernilai dan berharga.  Keputusan STAM/SPM 2019 telah keluar. Alhamdulillah. Ramailah di antara kita sedang membuat pilihan untuk memilih sama ada menyambung pengajian ke dalam negara atau memilih ke luar negara. Alhamdulillah, kurniaan Allah SWT kepada saya, tahun 2016 lalu saya telah berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Mesir melihat sistem pendidikan terbaharu di Mesir. Banyaklah pembaharuan dan kemajuan di Mesir berbanding pengalaman lampau pada tahun 2009 sewaktu berada di bumi Mesir. Kali ini sa

Perintis Diploma Pengurusan Dakwah

 Di antara mahasiswa Diploma Pengurusan Dakwah yang telah menuntut di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI)