Langkau ke kandungan utama

NAFKAH MENURUT UNDANG – UNDANG KEKELUARGAAN - Siri 1

Disediakan oleh:
Syafiq bin Zulakifli
Fakulti Syariah dan Undang – Undang
Jabatan Syariah Islamiah
Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir

1. Pengenalan

Sejak akhir – akhir ini isu dan masalah berkaitan dengan nikah mis-yar, harta sepencarian dan isu kekeluargaan rumah tangga sering diperbahaskan. Rata – rata menyatakan pendapat dan pendirian masing – masing di dalam menegakkan hak serta kewajipan yang harus dilunaskan. Rentetan dari itu, ramai yang menolak kaum adam mengambil alih tugas kaum hawa yang seharusnya menyelesaikan tanggungjawab tersebut.

Namun, persoalan yang harus difahami kini adalah bagaimana kedudukan nafkah yang sebenar menurut perspektif Islam dan Undang – Undang Kekeluargaan. Perkara ini harus diambil kira dalam meneliti setiap permasalahan dan perkara tersebut.

2. Takrif Nafkah

Asal makna nafkah ialah mengeluarkan atau menghabiskan. Perkataan nafkah (mengeluarkan atau menghabiskan) hanya digunakan dengan makna yang baik sahaja.

Nafkah dari segi istilah ialah semua perkara yang diperlukan oleh manusia seperti makanan, minuman, pakaian, dan tempat tinggal.

3. Hukum Pemberian Nafkah

Tugas suami untuk memberi nafkah ke atas isteri dan anak-anaknya adalah wajib. Allah s.w.t. berfirman :

“Dan kewajipan ayahnya adalah memberi makan dan pakaian kepada mereka dengan baik. Tidaklah seseorang dibebani, melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
Surah Al-Baqarah ayat 233


Allah Taala berfirman lagi di dalam Surah At- Thalaq ayat ke 6 yang bermaksud :

“Perempuan – perempuan (yang dalam iddah) itu hendaklah kamu tempatkan di tempat kediaman yang sesuai dengan kemampuan kamu, dan janganlah kamu sengsarakan mereka kerana hendak menimpakan kesusahan kepada mereka. Dan kalau mereka sedang hamil, hendaklah kamu membelanjai mereka sampai melahirkan kandungannya. Dan kalau mereka menyusukan hendaklah kamu rundingkan menurut patutnya. Dan kalau kamu sama- sama merasa kesulitan boleh perempuan lain menyusukannya.”

Dalam hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, maksudnya ;

“Dari Aisyah bahawasanya Hindun bin Uthbah pernah bertanya kepada baginda Rasulullah : Hai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufiyan adalah orang kafir. Ia tidak mahu memberi nafkah kepadaku dan anakku, sehingga aku mesti mengambil daripadanya tanpa pengetahuannya. Maka Rasulullah SAW bersabda : Ambillah apa yang mencukupi dirimu dan anakmu dengan cara yang baik.

4. Hak Nafkah Selepas Perceraian

Nafkah juga termasuk salah satu daripada hak yang wajib diterima oleh isteri selepas berlaku perceraian. Isteri berhak menerimanya sepanjang menjalani tempoh idah menurut syarat – syarat yang ditetapkan oleh syarak.

Ahli fuqaha’ sependapat bahawa isteri yang dicerai dan telah pun disetubuhi sebelumnya berhak mendapat nafkah sepanjang menjalani tempoh idah.

Walaupun begitu, tidak semua isteri yang diceraikan berhak mendapat nafkah dan bentuk nafkah yang diterimanya juga berbeza-beza. Ia bergantung kepada keadaan dan jenis perceraian semasa berlakunya perceraian.

5. Bentuk Nafkah Selepas Perceraian

Bentuk – bentuk nafkah ini boleh dibahagikan kepada tiga jenis mengikut kategori :

Pertama : Isteri yang diceraikan secara talak raj’ie.
Kedua : Isteri yang diceraikan secara talak ba’in.
Ketiga : Isteri yang diceraikan dan belum pernah disetubuhi.

(i) Isteri yang diceraikan secara talak raj’ie.

Para fuqaha’ sependapat dalam mewajibkan isteri yang menjalani idah talak raj’ie untuk mendapat nafkah dari suaminya. Hak nafkah tersebut berupa segala perbelanjaan dan rumah kediaman.

Suami wajib menanggung segala nafkah tersebut selama isterinya menjalani tempoh idah kerana dia masih lagi mempunyai hak ke atas isteri. Isteri tersebut dikira masih berada di dalam pemilikan suami.

(ii) Isteri yang diceraikan secara talak ba’in.

Isteri yang diceraikan secara ba’in berbeza dengan talak raj’ie. Perbezaan ini dilihat dari segi pemilikan suami ke atas isterinya dalam masa idah.

Jumhur ulama bersetuju bahawa isteri yang menjalani idah perceraian ba’in akan mendapat nafkah perbelanjaan jika dia hamil. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran yang mafhumnya :-

“Dan kalau mereka sedang hamil, hendaklah kamu membelanjai mereka sampai melahirkan kandungannya. Dan kalau mereka menyusukan hendaklah kamu rundingkan menurut patutnya. Dan kalau kamu sama- sama merasa kesulitan boleh perempuan lain menyusukannya.”

Imam Malik dan Syafie mengatakan perempuan hanya berhak mendapat nafkah tempat tinggal sahaja. Perempuan itu tidak berhak mendapat nafkah belanja kecuali jika dia hamil.

Hujah ini bersandarkan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Fatimah binti Qais yang bermaksud :-

“Suamiku telah mentalakkan aku dengan talak tiga. Lalu aku pergi mengadu kepada Rasulullah SAW. Baginda bersabda kepadanya (Fatimah) engkau tidak ada hak tempat tinggal dan nafkah”.

(iii) Isteri yang diceraikan dan belum pernah disetubuhi.

Jumhur ulama’ berpendapat bahawa perempuan dan isteri yang belum disetubuhi tidak wajib mendapat nafkah dan tempat tinggal. Mereka yang diceraikan sebelum disetubuhi tidak wajib melalui tempoh idah. Di samping itu, mereka juga tidak lagi berada di dalam pemilikan suaminya. Oleh sebab itu, adalah wajar menurut ulama mengapa mereka tidak mendapat sebarang nafkah dan kediaman tempat tinggal dari suami.

6. Nafkah Menurut Undang – Undang Mahkamah

Di bawah peruntukan Undang – Undang Keluarga Islam di Selangor dan Johor Seksyen 59 (1) dan (2) menyatakan tertakluk kepada hokum syarak mahkamah, boleh memerintahkan orang lelaki membayar nafkah kepada isterinya atau bekas isterinya.

Namun, seseorang isteri tidak berhak mendapat nafkah apabila ia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya.

Di bawah Seksyen 60, 61, dan 62 menyatakan mahkamah boleh memerintahkan mana – mana orang yang bertanggungan tentang hal itu mengikut hokum syarak supaya membayar nafkah kepada seseorang yang lain jika ianya tidak berupaya sepenuhnya atau sebahagiannya disebabkan kerosakan otak, jasmani, atau tidak sihat dan mahkamah berpuashati.

Di bawah Seksyen 64, 65 memperuntukan sesuatu perintah nafkah itu tamat apabila mati orang yang kena membayar nafkah atau mati orang yang berhak menerima nafkah menurut perintah yang telah ditetapkan mana yang lebih awal. Begitu juga di dalam Seksyen 65 (1) dan (2) hak isteri untuk menerima perintah nafkah akan terhenti apabila tamat idah atau isteri hidup dalam perzinaan dengan orang lain atau apabila isteri itu berkahwin dengan orang lain.

Di bawah Seksyen 66, 67, dan 68 menyatakan bahawa mahkamah berhak mengubah syarat – syarat pemberian nafkah dari semasa ke semasa atau pada bila – bila masa. Nafkah yang dibayar tidak boleh ditukar atau dipindah milik.
bersambung...
p/s : saya sedang siapkan untuk beberapa lagi.... perkara yang berkaitan

Ulasan

KEA77 berkata…
assalamualaikum saya hamba allah ingin bertanya akan tentang nafkah . berapa peratusan yang sepatutnya untuk diri sendiri isteri dan anak anak?

Catatan popular daripada blog ini

SAMBUNG BELAJAR KE MESIR

NOTA KEMASUKAN SESI 2020/2021 ============================= UPDATE INFO TERKINI Pengalaman yang selalu membuatkan seseorang cinta untuk menimba pelbagai ilmu. Pengalaman melihat kawan-kawan yang berjaya dilahirkan melalui kampus pengajian di bumi Mesir juga merupakan satu pengalaman yang tidak mampu dijual beli. Tinggalkan pengalaman saya yang telah menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir pada tahun 2004-2009. Itu adalah suatu pengalaman yang amat-amat bernilai dan berharga.  Keputusan STAM/SPM 2019 telah keluar. Alhamdulillah. Ramailah di antara kita sedang membuat pilihan untuk memilih sama ada menyambung pengajian ke dalam negara atau memilih ke luar negara. Alhamdulillah, kurniaan Allah SWT kepada saya, tahun 2016 lalu saya telah berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Mesir melihat sistem pendidikan terbaharu di Mesir. Banyaklah pembaharuan dan kemajuan di Mesir berbanding pengalaman lampau pada tahun 2009 sewaktu berada di bumi Mesir. Kali ini sa

Kubu Kota Kaherah struktur terhebat tamadun Islam

Susunan ZUNAIDAH ZAINON KUBU Kota (Citadel) adalah monumen terhebat dari zaman pertengahan yang telah mencipta panorama menarik di seluruh bandar Kaherah, Mesir sejak 700 tahun lalu. Selain menjadi tarikan pelancong dari seluruh pelosok dunia, binaan Kubu Kota adalah struktur terhebat dalam sejarah keagungan tamadun Islam. Gabenor Hatim Ibn Hartama dipercayai membina astaka Dome of the Wind pada tahun 810. Kemudiannya, pada 1176, Salah ad-Din (turut dikenali sebagai Saladin) iaitu pemerintah Abbasiah (1171-1193) menukar fungsinya daripada kawasan peranginan kepada kubu pertahanan dan melindungi kawasan tersebut daripada serangan tentera Kristian dalam Perang Salib. Menurut cerita legenda, Salah ad-Din memilih lokasi tersebut untuk mendapatkan udara segar. Ini disebabkan kebanyakan daging yang disalai telah menimbulkan bau yang kurang enak di seluruh bandar kecuali kawasan di sekitar kubu kota. Bagaimanapun, lokasi tersebut amat strategik dan mampu berfungsi sebagai benteng pertahanan.

Perintis Diploma Pengurusan Dakwah

 Di antara mahasiswa Diploma Pengurusan Dakwah yang telah menuntut di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI)